Belanjawan 2026 meningkat kepada RM470 bilion

Anwar ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat pada Jumaat.
Anwar ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat pada Jumaat.
A
A
A

KUALA LUMPUR – [DIKEMAS KINI] Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM470 bilion bagi Belanjawan 2026, iaitu lebih besar berbanding RM452 bilion pada tahun ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, belanjawan kali ini akan mengumpul dan mengoptimumkan sumber negara termasuk dana Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC), Badan Berkanun Persekutuan dan syarikat milik kerajaan (MKD) melalui perbelanjaan awam.

Menurutnya, daripada jumlah itu, perbelanjaan mengurus berjumlah RM338.2 bilion, perbelanjaan pembangunan sebanyak RM81 bilion, pelaburan GLIC di bawah inisiatif GEAR-uP berjumlah RM30 bilion, pelaburan awam-swasta sebanyak RM10 bilion serta pelaburan Badan Berkanun Persekutuan dan syarikat MKD sebanyak RM10.8 bilion.

“Kerajaan juga akan membina kecekapan fiskal, menutup ruang ketirisan dan memperkukuh institusi negara dalam usaha menaikkan siling ekonomi dan lantai hidup rakyat,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat pada Jumaat.

Tambahnya, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi separuh pertama tahun 2025 mencatat pertumbuhan memberangsangkan iaitu pada kadar 4.4 peratus.

Jelasnya, walaupun diasak oleh perang tarif Amerika Syarikat, unjuran semula KDNK tahun 2025 antara 4.0 hingga 4.8 peratus membuktikan bahawa ekonomi negara kekal berdaya tahan.

“Bagi tahun 2026, ekonomi kita diunjur berkembang lebih rendah antara 4.0 hingga 4.5 peratus. Ini susulan ketidaktentuan ekonomi dunia serta sengketa geopolitik dan geoekonomi yang berterusan,” jelasnya.

Selain itu, beliau menjelaskan, hasil rampasan dan kutipan penalti daripada tindakan penguatkuasaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM)  dan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) sejak dua tahun lalu telah mencecah RM15.5 bilion, hasil daripada usaha memerangi rasuah dan menutup ruang ketirisan.

“Bayangkan wang yang disakau dan dirompak yang dapat dikembalikan dalam tempoh dua tahun mencecah 15.5 bilion ringgit,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, bagi memperkukuh usaha tersebut, badan penguat kuasa akan ditambah keupayaan dengan peruntukan lebih RM700 juta bagi latihan dan perolehan aset baharu tahun hadapan.

Kerajaan turut memperkenalkan setem cukai digital dengan ciri keselamatan dipertingkat serta sistem e-Invois dan taksir sendiri duti setem bagi meningkatkan pematuhan cukai.

Dalam masa sama, pengecualian cukai kenderaan di Langkawi dan Labuan akan dihadkan kepada nilai tidak melebihi RM300,000 mulai 1 Januari 2026 bagi mengekang ketirisan.

Anwar menegaskan, kerajaan tidak mengenakan cukai baharu bagi menampung perbelanjaan tambahan, sebaliknya memilih meningkatkan tatakelola, membanteras rasuah dan menstruktur semula subsidi demi memastikan hasil negara dimanfaatkan sebaiknya untuk rakyat.

Ringkasan AI

  • Kerajaan memperuntukkan RM470 bilion untuk Belanjawan 2026, meningkat dari RM452 bilion tahun ini
  • Belanjawan ini bertujuan mengoptimumkan penggunaan sumber negara termasuk GLIC, Badan Berkanun Persekutuan, dan syarikat milik kerajaan
  • Mengandungi perbelanjaan mengurus RM338.2 bilion, pembangunan RM81 bilion, dan pelaburan GLIC, awam-swasta, serta Badan Berkanun dan syarikat MKD
  • Ekonomi dijangka berkembang antara 4.0 hingga 4.5 peratus pada tahun 2026, di tengah ketidaktentuan ekonomi dunia
  • Hasil rampasan dan kutipan penalti dalam usaha memerangi rasuah dan ketirisan mencapai RM15.5 bilion dalam dua tahun

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!