Dua maut, dua cedera kereta terjunam dalam gaung

Keadaan kereta remuk selepas terjunam dalam gaung di Kilometer 301.2 Lebuhraya Kuala Lumpur–Seremban pada Jumaat.
Keadaan kereta remuk selepas terjunam dalam gaung di Kilometer 301.2 Lebuhraya Kuala Lumpur–Seremban pada Jumaat.
A
A
A

KAJANG – [DIKEMAS KINI] Dua lelaki termasuk seorang remaja maut selepas kereta dinaiki mereka terbabas sebelum terjunam ke dalam gaung di Kilometer 301.2 Lebuhraya Kuala Lumpur–Seremban arah ibu negara pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu kira-kira jam 1.45 pagi.

"Hasil siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu kenderaan berkenaan hilang kawalan sebelum terbabas dan jatuh ke dalam gaung di tepi jalan.

"Akibat kemalangan itu, pemandu berusia 23 tahun yang bekerja di sektor swasta dan seorang penumpang lelaki berumur 16 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Katanya, dua lagi penumpang lelaki dan wanita berusia lingkungan 20-an pula cedera di kaki dan tangan sebelum dibawa ke Hospital Serdang untuk rawatan lanjut.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Beliau turut menyeru mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kemalangan itu supaya menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Narolhisyam Endi di talian 019-5897115 bagi membantu siasatan.

"Polis menasihatkan pengguna jalan raya agar sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas, mengamalkan pemanduan berhemah dan berhati-hati terutama ketika melalui kawasan berbukit atau berselekoh," katanya.

 

Artikel Berkaitan:

 

Ringkasan AI

  • Dua lelaki termasuk seorang remaja maut dalam nahas kereta di Kilometer 301.2 Lebuhraya Kuala Lumpur–Seremban
  • Kemalangan berlaku selepas pemandu hilang kawalan dan kereta jatuh ke dalam gaung
  • Pemandu berusia 23 tahun dan penumpang lelaki 16 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian
  • Dua penumpang lain cedera dan dibawa ke Hospital Serdang untuk rawatan
  • Polis menasihatkan pengguna jalan raya mematuhi peraturan dan berhati-hati ketika melalui kawasan berbukit atau berselekoh

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!