Anggota tentera maut, trak terjunam dalam gaung dekat Terowong Menora

Seorang anggota ATM maut selepas trak tentera terbabas dan terjunam ke dalam gaung berhampiran Terowong Menora di Lebuhraya Utara-Selatan, Kuala Kangsar. Foto Bomba Perak
Seorang anggota ATM maut selepas trak tentera terbabas dan terjunam ke dalam gaung berhampiran Terowong Menora di Lebuhraya Utara-Selatan, Kuala Kangsar. Foto Bomba Perak
A
A
A

KUALA KANGSAR - Seorang anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) maut selepas trak dinaiki bersama enam yang lain terbabas dan terjunam ke dalam gaung di Kilometer 257 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara selepas Terowong Menora di sini pada Rabu.

Pemangku Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Shazlean Mohd Hanafiah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.59 petang.

Menurutnya, daripada tujuh mangsa yang berada dalam trak, lima berjaya dikeluarkan sebelum ketibaan bomba, manakala dua lagi tersepit di bahagian belakang.

“Mangsa pertama dikeluarkan pada jam 5.54 petang dan disahkan meninggal dunia.

“Manakala mangsa kedua pula dikeluarkan pada jam 6.14 petang dalam keadaan cedera,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, mangsa yang cedera telah diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan lanjut.

“Operasi disertai 11 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kangsar serta Meru Raya itu dikawal sepenuhnya pada jam 6.14 petang,” katanya.

Difahamkan, keadaan di lokasi semasa kejadian adalah hujan. Bagaimanapun, nahas itu tidak melibatkan kenderaan lain.

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Seorang anggota ATM maut selepas trak terbabas dan terjunam ke dalam gaung di Kilometer 257 Lebuhraya Utara-Selatan
  • Pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 4.59 petang
  • Daripada tujuh mangsa, lima berjaya dikeluarkan sebelum ketibaan bomba, dua lagi tersepit
  • Mangsa pertama disahkan meninggal dunia, manakala mangsa kedua cedera
  • Operasi penyelamat melibatkan 11 anggota bomba dan kondisi cuaca adalah hujan sewaktu kejadian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!