Ustaz Wadi Annuar terlibat kemalangan, PM doakan kesembuhan

Ustaz Wadi Annuar
Ustaz Wadi Annuar
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendoakan pendakwah terkenal, Ustaz Wadi Annuar segera sembuh selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya ketika dalam perjalanan ke Gerik, Perak, awal pagi Jumaat.

Menerusi hantaran di Facebook, Anwar turut berharap segala urusan rawatan pendakwah itu dipermudah serta dikurniakan ketabahan dan kekuatan dalam menghadapi ujian berkenaan.

“Mendoakan Ustaz Wadi Annuar dikurniakan kesembuhan selepas terlibat dalam kemalangan ketika dalam perjalanan ke Gerik awal pagi tadi.

“Moga ALLAH SWT mempermudah segala urusan rawatan serta mengurniakan ketabahan dan kekuatan buat Ustaz dalam menempuh ujian ini.

“Semoga Ustaz segera pulih dan kembali berbakti menyampaikan ilmu serta dakwah kepada masyarakat,” katanya.

Tangkap layar hantaran Facebook Perdana Menteri
Tangkap layar hantaran Facebook Perdana Menteri

Terdahulu, Ustaz Wadi Annuar dan seorang lagi ustaz dilaporkan berada dalam keadaan stabil selepas kenderaan dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan jalan raya di kawasan Air Banun, Tasik Banding, awal pagi Jumaat.

Menerusi rakaman video yang dimuat naik di Facebook pembantu Ustaz Wadi, Mohd Amir Faizal memaklumkan perkembangan terkini dari Hospital Gerik kira-kira jam 4.10 pagi.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, kenderaan dinaiki Ustaz Wadi bersama beberapa individu lain bertembung dengan sebuah kenderaan lain.

Akibat pelanggaran itu, kenderaan dinaiki mereka mengalami kerosakan teruk di bahagian belakang selepas terpelanting.

“Ustaz Wadi Annuar mengadu sakit di bahagian dada dan perut kerana duduk di tempat duduk belakang ketika kejadian, manakala seorang lagi ustaz mengalami kecederaan di bahagian lutut dan dagu.

“Kedua-dua mereka kini berada di hospital dalam keadaan stabil, boleh bercakap, dan telah dibawa ke bilik X-ray untuk pemeriksaan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Mohd Amir berkata, mangsa daripada kenderaan satu lagi dilaporkan tidak sedarkan diri dan masih menerima rawatan.

Beliau berkata, pihak pengurusan akan terus memaklumkan perkembangan terkini dari semasa ke semasa.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!