Tiga gudang, 12 kenderaan terbakar

PENAMPANG - Tiga blok gudang musnah sepenuhnya manakala 12 kenderaan turut terbakar dalam kejadian di Mogoputi Industrial Park, Fasa 2, di sini pada malam Khamis.
Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, tiada mangsa dilaporkan cedera.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang, Zeno Tingalan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 10.29 malam.
Katanya, seramai 13 anggota dikejarkan ke lokasi yang terletak kira-kira tiga kilometer dari BBP Penampang.
"Maklumat awal daripada pemanggil menyatakan kebakaran melibatkan papan agihan elektrik (DB).
"Bagaimanapun, sebaik tiba di lokasi, pasukan bomba mendapati tiga blok gudang yang menyimpan barangan plastik, getah paip dan kertas sedang terbakar 100 peratus," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.
Zeno berkata, susulan keadaan kebakaran itu, bantuan daripada BBP Kota Kinabalu dan BBP Putatan turut digerakkan ke lokasi bagi membantu operasi pemadaman.
"Operasi pemadaman segera dijalankan menggunakan sumber air daripada jentera bomba dan pili bomba berhampiran.
"Api kemudian berjaya dikawal dan hasil pemeriksaan mendapati sebanyak 12 kenderaan termasuk van, pacuan empat roda, motosikal dan lori turut terbakar," katanya.
Beliau berkata, kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya pada jam 6.16 pagi sebelum operasi ditamatkan selepas memastikan tiada bahaya lain di lokasi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
