Remaja maut, dua motosikal terbakar di Lebuhraya Senai-Desaru

Seorang remaja lelaki maut manakala rakannya cedera ringan selepas motosikal mereka terlibat kemalangan dengan sebuah MPV di Kilometer 46, Lebuhraya Senai-Desaru, awal pagi Ahad. Foto tular
Seorang remaja lelaki maut manakala rakannya cedera ringan selepas motosikal mereka terlibat kemalangan dengan sebuah MPV di Kilometer 46, Lebuhraya Senai-Desaru, awal pagi Ahad. Foto tular
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun maut, manakala rakannya cedera ringan selepas motosikal yang mereka tunggang terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) sebelum kedua-dua motosikal terbakar, awal pagi Ahad.

Kemalangan berlaku kira-kira jam 1 pagi di Kilometer 46, Lebuhraya Senai-Desaru menghala ke Ulu Tiram.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak berkata, nahas membabitkan sebuah MPV jenis Perodua Alza dan dua motosikal jenis Yamaha Y15 dan Yamaha LC135.

“Siasatan awal mendapati MPV dipandu lelaki tempatan berusia 44 tahun sedang bergerak lurus menuju ke arah Ulu Tiram.

“Motosikal mangsa bersama rakannya pula datang dari arah bertentangan. Setibanya di lokasi, mangsa dipercayai masuk ke laluan bertentangan dan melanggar MPV terbabit,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Menurut beliau, pelanggaran itu menyebabkan mangsa tercampak di atas jalan, manakala rakannya berusia 15 tahun berada di belakang tidak sempat mengelak lalu merempuh motosikal mangsa.

“Beberapa minit kemudian, kedua-dua motosikal tersebut tiba-tiba terbakar dipercayai akibat kebocoran tangki minyak susulan kemalangan.

"Mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala rakannya hanya cedera ringan dan pemandu MPV tidak mengalami kecederaan," ujarnya.

Jelas beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel Berkaitan:

Kejadian itu turut tular di media sosial selepas video kemalangan dimuat naik di Facebook.

Ringkasan AI

  • Remaja lelaki berusia 17 tahun maut dan rakannya cedera dalam kemalangan libatkan MPV di Lebuhraya Senai-Desaru
  • Kemalangan berlaku awal pagi Ahad di Kilometer 46 menghala ke Ulu Tiram
  • MPV Perodua Alza dan dua motosikal terlibat dalam nahas
  • Mangsa tercampak dan motosikalnya berlanggar dengan MPV serta motosikal rakannya sebelum kedua-dua motosikal terbakar
  • Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!