Anak Perak jalin kerjasama dengan Pattani hasil 'Durian ASEAN'

IPOH – Institut Agro Usahawan (iGROW) dari Perak dan Wilayah Pattani, Thailand bakal menjalin kerjasama strategik dalam usaha menghasilkan durian kacukan baharu yang diberi nama 'Durian ASEAN'.
Pengerusi Eksekutif iGROW, Nordin Abdul Malek berkata, cadangan tersebut dikemukakan Gabenor Wilayah Pattani, Pateemoh Sadeeyamu yang melihat potensi penghasilan varieti baharu durian tersebut.

Menurutnya, ia selari dengan aspirasi iGROW untuk mewujudkan industri durian di negara-negara Asia Tenggara yang lebih tersusun dan berdaya saing.
“Langkah pertama ialah mewujudkan perbincangan pelbagai hala dengan negara pengeluar durian seperti Thailand, Malaysia, Vietnam dan Indonesia.
“Kemudian kita perlu menubuhkan satu jawatankuasa kerja industri durian ASEAN yang diselaraskan di bawah organisasi ASEAN itu sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian sempena kunjungan hormat delegasi iGROW dan Persatuan Pembangunan Komuniti Perak Tengah bagi mempromosikan Festival Durian Antarabangsa Kampung Gajah 2025 di Pattani baru-baru ini.
Nordin berkata, perkongsian ilmu, maklumat dan kemahiran antara pengusaha serta pakar dari negara-negara terlibat amat penting bagi memperkukuh industri durian serantau.
Justeru, pihak iGROW dengan kerjasama Persatuan Pembangunan Komuniti Perak Tengah mengambil inisiatif menjemput delegasi pemimpin, pegawai kerajaan dan masyarakat ASEAN ke Kampung Gajah sempena festival berkenaan yang bakal berlangsung dari Oktober hingga November 2025.
“Sepanjang festival dua bulan itu, kita akan mengadakan program pertukaran kemahiran dan pengalaman industri durian melibatkan pengusaha tempatan serta pengusaha dari Betong, Thailand.
"Pelbagai aktiviti sampingan lain juga diatur bagi merancakkan suasana di daerah Perak Tengah sempen festival tersebut,” katanya.
Kunjungan itu antara lain bertujuan mengukuhkan hubungan dua hala dalam bidang agroindustri dan membuka ruang kerjasama baharu antara pengusaha durian di rantau ini.
Sementara itu, Pateemoh berkata, potensi durian dari Malaysia dan Thailand yang masing-masing terkenal dengan keunikan tersendiri wajar dimanfaatkan bagi mewujudkan varieti raja buah yang mampu menembusi pasaran serantau.
“Kita merancang untuk mengadakan kerjasama dengan iGROW bagi menghasilkan durian ASEAN melibatkan kacukan antara durian dari kedua-dua negara.
“Insya-ALLAH saya akan ke Kampung Gajah sempena Festival Durian Antarabangsa Kampung Gajah 2025 pada Oktober ini dan kita akan berbincang lebih lanjut,” katanya.
Pateemoh berkata, pihaknya juga akan membawa cadangan itu kepada Pusat Pentadbiran Wilayah Sempadan Selatan (SBPAC) bagi merealisasikan inisiatif berkenaan.
Ringkasan AI
- Institut Agro Usahawan (iGROW) dari Perak dan Wilayah Pattani, Thailand merancang menjalin kerjasama untuk menghasilkan durian kacukan baru bernama 'Durian ASEAN'
- Gabenor Wilayah Pattani, Pateemoh Sadeeyamu melihat potensi penghasilan varieti baru durian tersebut yang selaras dengan aspirasi iGROW
- Perancangan melibatkan pembentukan jawatankuasa kerja industri durian ASEAN di bawah organisasi ASEAN serta perkongsian ilmu, maklumat dan kemahiran antarabangsa
- Inisiatif ini diumumkan sempena promosi Festival Durian Antarabangsa Kampung Gajah 2025 yang akan berlangsung di Pattani
- Kerjasama ini bertujuan mengukuhkan industri durian serantau dan membuka ruang kerjasama baru antara pengusaha durian di Asia Tenggara
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

