Lelaki lemas ketika cari siput

BERUAS – Seorang lelaki ditemukan lemas selepas terjatuh ke dalam sungai ketika mencari siput di kawasan paya bakau berhampiran Kampung Sungai Tuntung, Pantai Remis di sini malam Jumaat.
Mangsa, Mohamad Zulkefli Mat Saad, 27, ditemukan tidak bernyawa kira-kira 10 meter dari lokasi dipercayai terjatuh oleh pasukan penyelamat pada jam 11.30 malam.
Pemangku Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Shazlean Mohd Hanafiah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.04 petang dan tiba di lokasi empat minit kemudian.
“Setibanya di lokasi, didapati mangsa dipercayai terjatuh ke dalam Sungai Tuntung ketika mencari siput di kawasan paya bakau berhampiran.
“Operasi mencari dan menyelamat dilancarkan melibatkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pantai Remis, Pulau Pangkor dan Kuala Kangsar serta penggunaan bot Whaly dan bot nelayan,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Shazlean berkata, pencarian dijalankan menggunakan teknik pencarian permukaan di kawasan seluas kira-kira satu kilometer persegi dari lokasi mangsa terjatuh.
“Apabila air mula surut pada jam 11.15 malam, operasi diteruskan menggunakan dua buah bot dengan kekuatan lapan anggota termasuk empat dari Pasukan Penyelam Di Air (PPDA).
“Pencarian turut dibantu lapan orang awam yang menelusuri laluan darat di kawasan paya bakau,” katanya.
Tambahnya, mangsa yang ditemukan telah disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di lokasi kejadian sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Katanya, operasi berkenaan turut melibatkan 17 anggota polis, enam anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan lima anggota KKM serta pelbagai aset termasuk lima kenderaan bomba dan dua bot.
Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 12.35 tengah malam.
Ringkasan AI
- Seorang lelaki lemas di sungai ketika mencari siput di Kampung Sungai Tuntung, Pantai Remis
- Mohamad Zulkefli Mat Saad, 27, ditemukan tidak bernyawa 10 meter dari lokasi terjatuh
- JBPM Perak menerima panggilan kecemasan dan tiba di lokasi dalam empat minit
- Operasi pencarian melibatkan anggota bomba, PPDA, bot Whaly, bot nelayan, dan bantuan orang awam
- Mangsa disahkan meninggal di tempat kejadian dan operasi pencarian ditamatkan pada 12.35 tengah malam
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

