Lelaki ditemui lemas di kedalaman 5 meter ketika mandi di Air Luit, Hulu Selangor

Pasukan penyelamat menemui mangsa pada jam 11.45 pagi pada kedalaman kira-kira lima meter dan jarak 25 meter dari lokasi mangsa dilaporkan hilang. - Foto: JBPM
Pasukan penyelamat menemui mangsa pada jam 11.45 pagi pada kedalaman kira-kira lima meter dan jarak 25 meter dari lokasi mangsa dilaporkan hilang. - Foto: JBPM
A
A
A

HULU SELANGOR – Kegembiraan seorang lelaki bermandi-manda di kawasan Air Luit, Pertak Campsite, di sini bertukar tragedi apabila dia ditemukan lemas pada Ahad.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 9.47 pagi.

“Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu bergegas ke lokasi.

“Setibanya pasukan di tempat kejadian kira-kira jam 10.08 pagi, didapati seorang lelaki berusia 21 tahun dilaporkan hilang dan tidak timbul selepas melakukan aktiviti mandi-manda di kawasan air terjun berkenaan,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Menurutnya, operasi mencari dan menyelamat turut dibantu oleh Unit Khas Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari BBP Shah Alam, KLIA dan Pelabuhan Klang.

“Pasukan penyelamat kemudian menemui mangsa pada jam 11.45 pagi pada kedalaman kira-kira lima meter dan jarak 25 meter dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.

“Mangsa dibawa naik dan disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di lokasi,” katanya.

Menurutnya, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

“Orang ramai dinasihatkan agar berhati-hati ketika menjalankan aktiviti air serta mematuhi arahan keselamatan, terutama ketika musim hujan yang boleh menyebabkan arus deras dan meningkatkan risiko kejadian lemas,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Kegembiraan bermandi-manda di Air Luit, Pertak Campsite bertukar tragedi dengan seorang lelaki ditemukan lemas
  • Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Selangor menerima panggilan kecemasan tentang insiden lemas itu
  • Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu serta Unit Khas Pasukan Penyelamat Di Air terlibat dalam operasi pencarian
  • Lelaki berusia 21 tahun itu ditemui lemas pada kedalaman lima meter dan jarak 25 meter dari lokasi dilaporkan hilang
  • Orang ramai dinasihatkan berhati-hati semasa aktiviti air dan mematuhi arahan keselamatan, terutama semasa musim hujan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!