132 pelajar tahfiz berjaya dikuarantin: JBPM

Pelajar tahfiz dikuarantin di ISM.
Pelajar tahfiz dikuarantin di ISM.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Seramai 132 pelajar tahfiz dari sebuah madrasah di Masjid Seri Petaling diarah menjalani kuarantin di Institut Sosial Malaysia (ISM) dalam usaha mengawal penularan koronavirus (Covid-19), hari ini.

Komander Operasi, Penguasa Kanan Bomba 1 Khairul Azuwan Ibrahim berkata, seramai 41 anggota dan pegawai Bomba dan Penyelamat terlibat dalam operasi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana (HADR) untuk memindahkan pelajar terbabit ke ISM.

“Pasukan yang terlibat berkumpul di Balai Bomba dan Penyelamat Hang Tuah pada jam 9 pagi untuk taklimat ringkas sebelum. Kita tiba di lokasi berkenaan pada jam 10.36 pagi,” katanya melalui kenyataan media hari ini.

"Kerja nyahcemar pelajar terbabit dijalankan oleh Pasukan Hazmat Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur dengan bantuan polis, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Radicare dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

“Kesemua pelajar itu menaiki empat buah bas ke ISM diiringi polis pada jam 2.22 petang. Kerja nyahcemar bas juga dijalankan selepas pemindahan pelajar itu selesai pada jam 2.36 petang," katanya, hari ini.

Anggota Bomba dan Penyelamat ditugaskan untuk memindahkan pelajar tahfiz.
Anggota Bomba dan Penyelamat ditugaskan untuk memindahkan pelajar tahfiz.

Khairul Azuwan berkata, kebajikan pelajar itu diuruskan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM).

Baru-baru ini, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun dalam kenyataannya memaklumkan pelajar berusia antara 15 hingga 30 tahun itu perlu diasingkan serta dipantau tahap kesihatan mereka untuk satu tempoh yang ditetapkan oleh KKM.

Masjid Seri Petaling yang menjadi lokasi perhimpunan kumpulan tabligh sebelum ini menjadi antara kluster terbesar penularan wabak Covid-19.

[ARTIKEL BERKAITAN] - Covid-19: 132 pelajar tahfiz Masjid Sri Petaling pindah ke ISM

Artikel Berkaitan: