Ringgit naik belum tentu rakyat lega

Ringgit yang kukuh mencerminkan keyakinan baharu terhadap Malaysia. Foto hiasan
Ringgit yang kukuh mencerminkan keyakinan baharu terhadap Malaysia. Foto hiasan
A
A
A

PRESTASI ringgit yang kekal sebagai mata wang terbaik dalam kalangan negara ASEAN setakat tahun ini memang wajar dipuji.

Kenaikan sekitar 6.2 peratus berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) memberi sedikit kelegaan kepada pasaran dan rakyat selepas sekian lama ringgit tertekan.

Kenaikan ini bukan sekadar angka di pasaran tukaran asing, tetapi juga cerminan keyakinan semula terhadap asas ekonomi negara selepas tempoh panjang berdepan tekanan global.

Menurut laporan Maybank Research, ringgit terus menunjukkan momentum positif dengan peningkatan berterusan sekitar 0.4 peratus pada September dan menyaksikan beberapa perubahan apabila dolar AS secara umumnya melemah pada pertengahan September menjelang mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) AS.

Malah, unjuran bagi suku keempat menunjukkan nilai ringgit dijangka kekal kukuh sekitar RM4.10 berbanding dolar AS dan berpotensi mengukuh ke paras RM4.05 menjelang suku pertama 2026.

Ini menunjukkan prospek positif terhadap kestabilan ekonomi negara sekiranya langkah pengukuhan fiskal diteruskan secara berdisiplin.

Namun begitu, kekuatan ringgit tidak boleh dianggap sebagai jaminan mutlak bahawa ekonomi Malaysia sudah bebas daripada risiko luaran.

Faktor seperti kadar faedah tinggi di Amerika, ketegangan perdagangan antara kuasa besar, turun naik harga minyak mentah serta kelembapan ekonomi di Eropah masih mampu menjejaskan prestasi pasaran serantau.

Kerajaan perlu memastikan pengukuhan ringgit ini disokong oleh dasar yang menyeluruh, termasuk menambah baik daya saing eksport, memperkukuh kedudukan fiskal, mengawal defisit dan menarik lebih banyak pelaburan berkualiti tinggi.

Artikel Berkaitan:

Ketahanan ekonomi mesti berpaksikan asas sebenar, bukan bergantung kepada kelemahan mata wang negara lain semata-mata.

Bagi rakyat pula, kekuatan ringgit mesti diterjemahkan kepada kestabilan harga barang, kawalan inflasi dan pengurangan tekanan kos sara hidup.

Nilai mata wang yang meningkat hanya bermakna jika manfaatnya benar-benar dirasai di meja makan rakyat biasa.

Ringgit yang kukuh mencerminkan keyakinan baharu terhadap Malaysia, namun keutuhan sebenar ekonomi hanya akan terbukti apabila kesejahteraan itu dikongsi bersama seluruh rakyat.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!