Beg misteri mengandungi dadah bernilai RM1.6 juta

Rohaizad (tengah) menunjukkan gambar dadah yang ditemui dalam sebuah bagasi tidak bertuan di LTAPP pada 4 Mac lalu.
Rohaizad (tengah) menunjukkan gambar dadah yang ditemui dalam sebuah bagasi tidak bertuan di LTAPP pada 4 Mac lalu.
A
A
A

BUTTERWORTH – Sebuah beg tidak bertuan yang ditemui di bahagian karusel bagasi Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) rupanya mengandungi dadah bernilai RM1.6 juta.

Pengarah Kastam negeri, Rohaizad Ali berkata, beg berkenaan ditemui oleh pegawai operasi dari Pejabat Kastam Cawangan Pemeriksaan Penumpang (CPP) LTAPP pada 4 Mac lalu.

Menurutnya, bagasi terbabit dipercayai dibawa turun dari penerbangan luar negara ke negeri ini, namun tidak mempunyai butiran pemilik.

"Hasil pemeriksaan mendapati sebanyak 29 bungkusan lutsinar yang mengandungi tumbuhan kering disyaki dadah jenis ganja.

"Anggaran berat kasar tumbuhan kering tersebut sebanyak 16,210 gram dan nilai pasaran sekitar RM1.6 juta," katanya pada sidang akhbar di sini pada Khamis.

Sementara itu, dalam kes berasingan, Rohaizad berkata, kastam merampas empat bungkusan bunga ganja bernilai RM219,128 di Pusat Mel Kurier, Pos Malaysia Berhad pada 16 April lalu.

Menurutnya, sepasukan pegawai dari Unit Narkotik telah menjalankan pemeriksaan parcel-parcel di pusat kurier berkenaan dan dengan bantuan anjing pengesan dadah, berjaya menemui empat bungkusan terbabit.

"Semakan mendapati parcel tersebut telah diikrarkan mengandungi sembilan unit buku komik yang telah dieksport ke luar negara dan kembali dengan status sebagai 'returned parcel'.

"Kes ini masih dalam siasatan bagi mengesan pemilik parcel tersebut," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!