Pengurus rugi lebih RM1.3 juta terperdaya skim pelaburan tidak wujud

GEORGE TOWN - Seorang pengurus syarikat berasaskan kesihatan di Pulau Pinang mengalami kerugian lebih RM1.3 juta selepas terpedaya dengan skim pelaburan tidak wujud yang diiklankan melalui media sosial.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, mangsa berusia 46 tahun itu dikatakan tertarik dengan iklan pelaburan saham melalui aplikasi Instagram pada April lalu sebelum berhubung dengan seorang wanita melalui WhatsApp yang dipercayai merupakan ahli sindiket.
Menurutnya, mangsa dijanjikan pulangan pelaburan yang tinggi dalam tempoh singkat dan seterusnya diminta memuat turun aplikasi bernama ‘TG Pro’ bagi tujuan pelaburan tersebut.
"Dalam tempoh 27 April hingga 29 Mei 2025, mangsa telah membuat 21 transaksi ke empat akaun bank berbeza milik syarikat yang dikatakan terlibat dalam pelaburan itu, membabitkan jumlah keseluruhan RM1,316,111.
"Mangsa mula menyedari dirinya ditipu apabila gagal mengeluarkan keuntungan yang dijanjikan walaupun diminta menambah modal pelaburan," katanya menerusi kenyataan di sini, pada Rabu.
Kesal dengan apa yang berlaku, Hamzah berkata lelaki itu kemudiannya tampil membuat laporan polis pada 2 Jun lalu di Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Selatan.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Dalam pada itu, Hamzah menasihatkan orang ramai supaya lebih berwaspada terhadap tawaran pelaburan dalam talian yang tidak diiktiraf oleh agensi berkaitan seperti Bank Negara Malaysia (BNM), Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
Beliau turut menggesa orang ramai mendapatkan pengesahan daripada balai polis berhampiran sebelum menyertai sebarang bentuk pelaburan.
“Jenayah penipuan ini merupakan ancaman yang boleh menggugat kestabilan ekonomi negara.
“Orang ramai perlu sentiasa peka, bekerjasama dan memainkan peranan dalam menyebarkan kesedaran tentang jenayah komersial,” katanya lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
