ZRA selamat tiba di kediaman, pilih pulang secara senyap

SHAH ALAM – Aktivis kemanusiaan dan bekas wartawan, Zainal Rashid Ahmad yang menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF) selamat tiba di kediamannya awal pagi Rabu dengan memilih untuk pulang secara senyap tanpa sebarang liputan atau sambutan.
Difahamkan, Zainal Rashid atau lebih mesra dipanggil ZRA berjaya meninggalkan KLIA sekitar tengah malam Selasa selepas langkah pergerakan dirancang rapi oleh rakan-rakannya bagi mengelak perhatian orang ramai serta pihak media.
Menurut perkongsian seorang rakannya, Syahril A Kadir, beliau tiba di rumah kira-kira jam 12.30 pagi dalam keadaan letih namun masih mengekalkan gaya 'rugged' yang menjadi identitinya.
"Ini ajalah yang ada," kata ZRA kepada rakan-rakannya sambil menunjuk ke arah satu-satunya beg pakaian yang dibawa, dipercayai berisi barangan peribadi dan ubat-ubatan.
Ujarnya, ZRA kelihatan tenang namun enggan dilayan seperti seorang wira.

"Kami tahu dia tak suka disambut-sambut atau dijulang. Itu bukan dirinya," ujarnya menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.
Sebelum ini, seramai 27 sukarelawan GSF selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Terminal 1 pada malam Selasa.
Daripada jumlah itu, 23 sukarelawan telah ditahan oleh tentera Israel selepas kapal mereka dipintas ketika menghampiri perairan Gaza.
Mereka ialah Heliza Helmi, Nur Hazwani Afiqah, Nurfarahin Romli (Farah Lee), Zizi Kirana, Danish Nazran Murad dan Ardell Aryana.
Turut ditahan ialah PU Rahmat, Musa Nuwayri, Haikal Abdullah, Muaz Zainal, Iylia Balqis, Sul Aidil, Zulfadhli Khiruddin, Rusydi Ramli, Razali Awang, Norhelmi Ab. Ghani, Mohd Asmawi Mukhtar, Norazman Ishak, Zainal Rashid, Ustaz Muhammad Abdullah, Muhammad Hareez Adzrami (Haroqs), Muhd Haikal Luqman Zulkefli dan Taufiq Mohd Razif.
Tambah Syahril, malah ketika ditanya oleh seorang lagi rakannya yang dikenali sebagai Nua sama ada ingin dibelikan makanan, ZRA menolak dengan lembut dan sekadar berkata akan makan di rumahnya sahaja.
"Bagi mereka yang mengenalinya lama, tindakan itu tidak mengejutkan. ZRA terkenal sebagai sosok wartawan berprinsip teguh, tidak suka publisiti dan tidak menggemari penghormatan yang melampau," katanya.
Jelasnya, proses membawa keluar ZRA dari KLIA digambarkan sukar dan penuh taktikal kerana suasana ketika itu sesak dan ramai pihak sedang mencarinya.
Namun, hasil perancangan teratur oleh rakan-rakan seperjuangan termasuk Syirfan, misi itu berjaya tanpa sebarang liputan media mahupun perhatian orang ramai.
"Dia bukan mahu lari, tapi dia mahu ruang. ZRA tidak mahu dirinya dijadikan tontonan atau bahan politik. Itu prinsipnya," katanya.
Menurutnya yang juga rakan seperjuangan ZRA dalam dunia kewartawanan, lelaki tersebut dikenali sebagai individu berjiwa keras, berprinsip dan tidak tunduk kepada tekanan.
"ZRA tidak suka cakap kosong. Apa yang dia tulis, itulah yang dia buat. Kalau orang lain hanya berdegar-degar di media sosial, dia pula turun padang dan bertindak," katanya.
Tambah Syahril, tidak semua orang mampu memahami sikap tegas dan pendirian lantang ZRA, namun itulah keunikannya sebagai wartawan dan aktivis.
"Kita boleh setuju atau tidak setuju dengan cara dia, tapi kita tidak boleh nafikan keberaniannya. Itu cara dia, jalan dia dan pilihan dia. Suka atau tidak, itulah Abang Nal yang kami kenal," jelasnya.
Ringkasan AI
- Aktivis kemanusiaan dan bekas wartawan, Zainal Rashid Ahmad selamat tiba di rumahnya awal pagi Rabu secara senyap
- Zainal Rashid meninggalkan KLIA tengah malam Selasa dengan pergerakan dirancang rapi untuk mengelak perhatian
- Dia memilih untuk tidak disambut atau dipuji sebagai wira, menunjukkan sikap rendah diri
- Seramai 27 sukarelawan Global Sumud Flotilla termasuk Zainal Rashid ditahan oleh tentera Israel sebelum ini
- Zainal Rashid dikenali sebagai individu yang berprinsip, tidak suka publisiti dan memiliki keberanian dalam tindakannya
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

