Salur peruntukan kecemasan RM1,000 kepada semua penerima BSH

Kelihatan garisan merah pada jarak satu meter bagi setiap pelanggan yang berada di kaunter bayaran sebagai salah satu langkah menangani penularan Covid-19. -Foto Bernama
Kelihatan garisan merah pada jarak satu meter bagi setiap pelanggan yang berada di kaunter bayaran sebagai salah satu langkah menangani penularan Covid-19. -Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Majlis Setiausaha Pakatan Harapan (PH) mencadangkan kerajaan menyalurkan peruntukan kecemasan sebanyak RM1,000 kepada penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) bagi tempoh Mac dan April.

Majlis itu dalam satu kenyataan menjelaskan pemberian bagi tempoh dua bulan itu membolehkan penerima BSH mengharungi keadaan ekonomi meruncing dan mencabar kesan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan selama dua minggu.

Majlis Setiausaha PH dalam kenyataan itu turut menjangkakan kos yang perlu ditanggung kerajaan sebanyak RM8.2 bilion.

"Cara ini adalah pendekatan paling cepat untuk membantu mereka yang paling terkesan akibat pelaksanaan berkenaan berbanding keputusan kerajaan membenarkan rakyat negara ini mengeluarkan simpanan melalui Akaun 2 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

"Mereka yang dibenarkan mengeluarkan simpanan KWSP sendiri harus menyedari bahawa inisiatif itu sebenarnya bukan bantuan tetapi diambil daripada simpanan hari tua hasil tabungan sendiri," katanya.

Majlis Setiausaha PH yang dianggotai Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Samad dan Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke Siew Foo turut mempersoalkan ketiadaan bantuan jelas diberikan kerajaan kepada golongan peniaga kecil, ekonomi gig dan pekerja bergaji harian.

"Rakyat Malaysia dimaklumkan mengenai 'bantuan' ekonomi diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu sidang akhbar khas tengah hari tadi.

"Bagi kebanyakan rakyat, yang disebut Muhyiddin seperti peniaga kecil terpaksa tutup kedai, pemandu teksi dan Grab kehilangan pelanggan, pekerja bergaji harian tidak menerima gaji sebenarnya tiada bantuan jelas diperuntukkan kepada mereka dalam pengumuman itu,"katanya.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, Majlis Setiausaha PH menegaskan PH menyambut baik kenyataan Muhyiddin untuk menangani cabaran terkini tanpa mengira fahaman politik dengan peruntukan untuk kerajaan negeri tanpa mengira parti.

"Kerajaan negeri Selangor telah memperuntukkan RM30,000 dan kerajaan Johor RM20,000 kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di negeri masing masing tanpa mengira parti untuk tujuan mitigasi Covid-19.

"Kami mencadangkan kerajaan Persekutuan memberi peruntukan kepada Parlimen tanpa mengira parti supaya rakyat mendapat manfaat daripada ahli Dewan Rakyat yang mereka pilih secara demokratik," katanya.