Warga emas beli nombor ekor berpandukan mimpi ditahan JAINJ

KOTA TINGGI – Seorang warga emas berusia 75 tahun ditahan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) selepas dikesan membeli nombor ekor pada petang Rabu.
Menurut jurucakap JAINJ, lelaki terbabit tinggal seorang diri di sebuah rumah kampung dan menerima bantuan kerajaan sebanyak RM600 sebulan.
"Ketika ditahan, dia sedang membeli nombor ekor sebanyak RM8 di sebuah premis perjudian.
“Siasatan awal mendapati lelaki itu mengaku telah berjudi lebih 40 tahun dan masih 'mencuba nasib' walaupun menghadapi kekangan kewangan," katanya.
Tambahnya, warga emas itu memberitahu bahawa kini dia hanya membeli nombor ekor dalam jumlah kecil, bergantung kepada wang lebihan yang ada setiap bulan.
“Setiap bulan, dia akan membeli nombor, terutamanya jika mengalami mimpi baik atau terlihat kemalangan melibatkan kenderaan. Jika kereta terbalik, maknanya nombor yang hendak dibeli juga perlu diterbalikkan,” ujarnya.
Warga emas berkenaan turut mengakui perbuatannya bertentangan dengan hukum Islam, namun menyatakan sukar untuk berhenti kerana khuatir nombor yang sering dibelinya akan ‘naik’ sekiranya dia berhenti.
"Penguat kuasa turut ke rumahnya untuk mengesahkan status penjamin memandangkan warga emas berkenaan tidak mempunyai ahli keluarga terdekat yang boleh menjadi penjamin.
"Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 18 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor dan jika sabit kesalahan, boleh didenda sehingga RM3,000 atau dipenjarakan selama dua tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.
Ringkasan AI
- Warga emas 75 tahun ditahan kerana membeli nombor ekor di Johor
- Tinggal seorang diri dan menerima bantuan kerajaan RM600 sebulan
- Mengaku berjudi lebih 40 tahun dan membeli nombor ekor bergantung pada wang lebihan
- Memilih nombor berdasarkan mimpi atau tanda seperti kereta terbalik
- Menghadapi kemungkinan denda RM3,000, penjara dua tahun, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

