CAP sokong pendirian PM isu hidang minuman keras

GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menyatakan sokongan penuh terhadap pendirian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa minuman keras tidak boleh dihidangkan dalam mana-mana majlis rasmi kerajaan.
Pegawai Pendidikan Kanan CAP, NV Subbarow berkata, keprihatinan Anwar dalam isu itu amat dialu-alukan dan menunjukkan beliau serius memastikan etika pentadbiran awam dipatuhi sepenuhnya.
Menurutnya, penjelasan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bahawa minuman keras hanya dihidangkan selepas acara rasmi selesai tidak boleh diterima kerana ia tetap melanggar garis panduan kerajaan.
“Tindakan itu tidak beretika dan amat memalukan kerana majlis rasmi kerajaan sepatutnya bebas daripada hidangan arak.
"Ia juga bercanggah dengan prinsip pentadbiran awam yang mesti dipatuhi oleh semua pihak termasuk ahli kabinet,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Beliau menegaskan, amalan seperti itu perlu dihentikan serta tidak diulangi pada masa akan datang kerana memberi isyarat yang salah kepada generasi muda.
“Amaran yang diberikan oleh Perdana Menteri perlu diambil serius oleh semua pihak termasuk kerajaan negeri.
"Semua menteri dan penjawat awam perlu bersatu mempertahankan akhlak, agama serta nilai murni sebagai asas kemakmuran negara,” katanya.
Dalam masa sama, CAP turut merayu supaya kerajaan Madani mengharamkan amalan merokok dan menghisap vape di semua acara atau majlis rasmi kerajaan.
Perdana Menteri pada Selasa memberi amaran keras kepada Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing serta kementerian berkenaan agar memastikan bahawa kesilapan menghidangkan arak di acara rasmi kerajaan tidak berulang.
Anwar berkata, penjelasan kementerian itu bahawa minuman keras hanya dihidangkan selepas selesai acara rasmi adalah tidak wajar kerana dasar kerajaan secara tegas tidak membenarkan ia dihidangkan sama sekali.
Tambahnya, Jemaah Menteri dan seluruh jentera kerajaan telah diingatkan supaya tidak cuai dalam menangani isu tersebut, dan perlu memastikan kesilapan yang sama tidak berulang pada masa hadapan.
Sebelum ini, tular gambar memaparkan minuman keras dihidangkan pada majlis makan malam sempena program Global Travel Meet yang dihadiri King Sing.
Beberapa gambar juga menunjukkan menteri berkenaan serta tetamu lain memegang gelas berisi wain dan bir.
Ringkasan AI
- Persatuan Pengguna Pulau Pinang menyokong penuh pendirian Perdana Menteri tentang larangan minuman keras dalam majlis rasmi kerajaan
- NV Subbarow berkata keprihatinan Anwar dalam isu minuman keras menunjukkan keseriusan mematuhi etika pentadbiran awam
- Penjelasan MOTAC minuman keras hanya dihidangkan selepas acara rasmi tidak diterima kerana melanggar garis panduan kerajaan
- CAP menggesa amalan penghidangan minuman keras di majlis rasmi dihentikan serta mengharamkan merokok dan vape di acara rasmi
- Perdana Menteri Anwar Ibrahim memberi amaran keras kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya agar kesilapan menghidangkan arak tidak berulang
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

