MyCARE usaha kenal pasti keadaan sembilan aktivis FFC x TMTG

SHAH ALAM – Pusat Kawalan Humanitarian Aid Malaysia (MyCARE) kini berusaha meneliti keadaan sembilan aktivis kemanusiaan rakyat Malaysia yang menyertai misi Freedom Flotilla Coalition (FFC) dan Thousand Madleens to Gaza (TMTG).
Usaha itu dilakukan berterusan oleh My Care selepas laporan mengesahkan kapal Conscience yang mereka naiki telah tiba di Pelabuhan Ashdod kira-kira jam 12.45 pagi waktu Malaysia.
Menurut kenyataan MyCARE, kapal tersebut membawa 92 individu terdiri daripada doktor perubatan wartawan dan aktivis kemanusiaan termasuk sembilan rakyat Malaysia yang sebahagian daripadanya menaiki kapal Conscience dan Umm Saad.
Sembilan aktivis berkenaan ialah Ketua Delegasi Aktivis Malaysia, Prof Emeritus Dr Mohd Alauddin Mohd Ali, Dr Fauziah Mohd Hassan, Dr Hafiz Sulaiman, Dr Ili Syakira Mohd Suhaimi, Prof Dr Mohd Afandi Salleh, Dr Noorhasyimah Ismail, Norsham Abu Bakar (Ahli Lembaga Amanah MyCARE), Syafik Shukri Abdul Jalil (wartawan Astro Awani) dan Dr Maziah Muhammad.
“MyCARE sedang meneliti dengan rapi perkembangan terkini serta berhubung rapat dengan pihak FFC, pasukan peguam antarabangsa dan wakil diplomatik Malaysia bagi memastikan keselamatan kesemua aktivis yang terlibat,” jelas kenyataan itu.
MyCARE turut memaklumkan bahawa pasukan peguam daripada NGO ADALAH telah berada di Pelabuhan Ashdod bagi meninjau keadaan para aktivis dan mendapatkan akses segera bagi pihak FFC.
Setakat ini, status lapan kapal lain yang menyertai konvoi kemanusiaan tersebut masih belum dapat dipastikan.
"Pihak MyCare sedang mendapatkan maklumat lanjut daripada rangkaian antarabangsa mereka.
“Kami menyeru seluruh rakyat Malaysia agar terus mendoakan keselamatan sembilan aktivis negara serta semua sukarelawan antarabangsa yang menyertai misi kemanusiaan ini,” tambah kenyataan itu.
Ringkasan AI
- MyCARE meneliti keadaan sembilan aktivis kemanusiaan Malaysia dalam misi Freedom Flotilla Coalition dan Thousand Madleens to Gaza
- Kapal yang mereka naiki, Conscience, telah tiba di Pelabuhan Ashdod
- Kapal tersebut membawa 92 individu termasuk doktor, wartawan dan aktivis kemanusiaan, sebahagian daripadanya adalah rakyat Malaysia
- MyCARE berhubung rapat dengan FFC, pasukan peguam antarabangsa, dan wakil diplomatik Malaysia untuk memastikan keselamatan kesemua aktivis
- Pasukan peguam daripada NGO ADALAH sedang meninjau keadaan aktivis di Pelabuhan Ashdod
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

