Ikram kecam Israel, tuntut pembebasan segera aktivis misi FFC x TMTG

Badlishah Sham
Badlishah Sham
A
A
A

SHAH ALAM - Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) mengecam sekeras-kerasnya tindakan tentera Zionis Israel yang memintas kapal misi kemanusiaan Freedom Flotilla Coalition (FFC) serta Thousand Miles to Gaza (TMTG) di perairan antarabangsa pada pagi Rabu.

Presiden Ikram, Badlishah Sham Baharin berkata, dalam masa sama pihaknya menuntut pembebasan serta-merta semua aktivis kemanusiaan termasuk wira dan wirawati negara yang ditahan secara haram serta diberikan perlindungan sepanjang tempoh tahanan.

“Kami yakin penyertaan Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) dalam misi flotila di bawah FFC ini akan dapat diteruskan bagi membela rakyat Gaza yang sedang ditindas dan meluaskan kesedaran global tentang krisis kemanusiaan di sana.

“Ikram juga memuji dan menyokong usaha kerajaan Malaysia di peringkat diplomatik antarabangsa bagi memastikan keselamatan dan pembebasan rakyatnya, serta memperkukuh tekanan global terhadap Israel agar mematuhi undang-undang antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan.

Ikram turut mengharapkan agar kerajaan Malaysia dapat mengusahakan kepulangan wira dan wirawati Malaysia ke tanah air dengan selamat dalam kadar segera.

Misi FFC kali ini menyaksikan lapan wakil Malaysia berada di atas kapal Conscience yang berlepas dari Porto Otranto, Itali pada 30 September lalu.

Mereka ialah Mohd Alauddin, tiga doktor – Dr Fauziah Mohd Hassan, Dr Hafiz Sulaiman dan Dr Ili Syakirah Mohd Suhaimi – dua pensyarah, Prof Dr Mohd Afandi Salleh dan Dr Noorhasyimah Ismail; Ahli Lembaga Pemegang Amanah MyCARE, Norsham Abu Bakar; serta wartawan Astro Awani, Syafik Shukri Abdul Jalil.

Seorang lagi wakil Malaysia, Dr Maziah Muhammad, berada di atas kapal Umm Saad yang berlepas dari Catania, Sicily, pada 27 September bersama tujuh kapal layar lain menuju ke Gaza.

Secara keseluruhan, misi FFC kali ini disertai kira-kira 150 peserta dari 25 negara dengan MyCARE mengetuai delegasi Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Ikram kecam tindakan tentera Zionis Israel yang memintas kapal misi kemanusiaan di perairan antarabangsa
  • Menuntut pembebasan serta-merta semua aktivis kemanusiaan yang ditahan
  • Ikram yakin penyertaan MyCARE dalam misi akan membela rakyat Gaza dan meluaskan kesedaran global tentang krisis kemanusiaan
  • Memuji usaha kerajaan Malaysia di peringkat diplomatik antarabangsa untuk pembebasan rakyatnya
  • Misi FFC diikuti oleh lapan wakil Malaysia dan disertai 150 peserta dari 25 negara

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!