FFC x TMTG: Sukarelawan tiba di Ashdod

"Kapal Conscience yang membawa 92 orang doktor perubatan, wartawan dan aktivis kemanusiaan termasuk lapan orang rakyat Malaysia dilaporkan telah tiba di Pelabuhan Ashdod.
"Kapal Conscience yang membawa 92 orang doktor perubatan, wartawan dan aktivis kemanusiaan termasuk lapan orang rakyat Malaysia dilaporkan telah tiba di Pelabuhan Ashdod.
A
A
A

SERDANG - Para peserta misi gabungan Freedom Flotilla Coalition (FFC) dan Thousand Madleens to Gaza (TMTG) yang ditahan tentera Israel mula tiba di Pelabuhan Ashdod, Israel.

Perkara itu dimaklumkan oleh Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) menerusi hantaran di Facebook sekitar jam 12.55 tengah malam pada Rabu.

"Kapal Conscience yang membawa 92 orang doktor perubatan, wartawan dan aktivis kemanusiaan termasuk lapan orang rakyat Malaysia dilaporkan telah tiba di Pelabuhan Ashdod," katanya.

Katanya, barisan peguam Pusat Undang-Undang bagi Hak Minoriti Arab di Israel (Adalah) dilaporkan telah bersiap sedia di pelabuhan untuk meninjau keadaan peserta bagi pihak FFC.

"Sama-sama kita doakan mereka semua dalam keadaan baik-baik sahaja," ujarnya.

Sinar Harian melaporkan Adalah telah menulis kepada pihak berkuasa Israel bahawa pertubuhan itu akan mewakili kesemua 145 peserta misi kemanusiaan berkenaan.

Pertubuhan itu turut menuntut agar akses segera diberikan kepada peserta sebaik tiba di Israel dan menegaskan bahawa pihaknya akan mencabar penahanan haram serta rampasan kapal bersama bantuan yang dibawa.

Terdahulu, sembilan buah kapal yang menyertai misi kemanusiaan tersebut telah dipintas oleh Pasukan Pertahanan Israel (IDF) di perairan antarabangsa ketika menghampiri zon merah Gaza, sekitar jam 10.50 pagi waktu Malaysia.

Misi pelayaran FFC x TMTG yang merentasi Laut Mediterranean membawa bekalan makanan, ubat-ubatan dan mesej keamanan yang menggesa agar peperangan dan krisis kebuluran dihentikan serta menuntut pembukaan koridor kemanusiaan ke Gaza.

Artikel Berkaitan:

Lapan delegasi Malaysia yang menaiki kapal Conscience milik FFC itu terdiri daripada ketua misi, Prof Emeritus Dr Mohd Alauddin Mohd Ali, Dr Fauziah Hassan, Dr Hafiz Sulaiman, Dr Ili Syakira Mohd Suhaimi, wartawan, Syafik Shukri Abdul Jalil, dua pensyarah iaitu Prof Dr Mohd Afandi Salleh dan Dr Noorhasyimah Ismail serta Ahli Lembaga Pemegang Amanah MyCARE, Norsham Abu Bakar.

Kapal terbesar Conscience membabitkan 10 kru, 20 wartawan antarabangsa, 21 pakar perubatan, tiga ahli Parlimen Turkiye, 34 aktivis dan enam Jawatankuasa Pemandu FFC.

 

 

 

 

 

Ringkasan AI

  • Para peserta misi gabungan Freedom Flotilla Coalition dan Thousand Madleens to Gaza yang ditahan tentera Israel mula tiba di Pelabuhan Ashdod, Israel
  • Kapal Conscience membawa 92 orang termasuk lapan rakyat Malaysia
  • Peguam Pusat Undang-Undang bagi Hak Minoriti Arab di Israel bersiap sedia di pelabuhan untuk meninjau keadaan peserta
  • Pertubuhan Adalah akan mewakili kesemua 145 peserta misi dan menuntut akses segera serta mencabar penahanan haram
  • Misi membawa bekalan makanan, ubat-ubatan dan mesej keamanan untuk menggesa hentikan peperangan serta membuka koridor kemanusiaan ke Gaza

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!