Teruja rai 23 wira GSF, jangan dilupa nasib 9 aktivis FFC x TMTG

Sembilan sukarelawan Malaysia dalam misi Freedom Flotilla Coalition dan Thousand Madleens To Gaza yang ditahan rejim Zionis.
Sembilan sukarelawan Malaysia dalam misi Freedom Flotilla Coalition dan Thousand Madleens To Gaza yang ditahan rejim Zionis.
A
A
A

TATKALA rakyat Malaysia bersorak gembira menyambut kepulangan 23 wira sukarelawan Global Sumud Flotilla (GSF) yang tiba di tanah air, jangan pula kita leka hingga melupakan nasib sembilan lagi aktivis negara yang kini terputus hubungan di tengah lautan Mediterranean.

Hal ini susulan sembilan kapal di bawah misi kemanusiaan di bawah gabungan Freedom Flotilla Coalition (FFC) dan Thousand Madleens to Gaza (TMTG) telah dipintas dan diculik tentera laut Israel ketika merentasi perairan antarabangsa.

Ya, ketika mereka berjuang membawa mesej kemanusiaan ke Gaza dengan risiko ditawan, diserang, malah mungkin tidak pulang.

Masih ada segelintir warga alam maya yang tidak pernah kehabisan bateri telefon untuk terus mempersoalkan, memperlekeh dan memperli perjuangan ini.

Kononnya misi ini tiada hasil, sekadar publisiti serta membazir tenaga dan dana.

Ironinya, suara paling lantang menilai perjuangan itu datang daripada mereka yang konon ‘pejuang kebenaran’, tetapi jari mereka hanya gagah di papan kekunci bukan di dek kapal yang bergelora.

Cuba bayangkan, tatkala mereka berdepan risiko sebenar di laut antarabangsa dengan situasi kapal dikepung, komunikasi terputus, ada pula yang sibuk mengira ‘like’ dan ‘share’ di media sosial sambil mendabik dada kononnya lebih arif tentang erti jihad kemanusiaan.

Merak Jalanan tidak minta semua orang menaiki kapal dan belayar ke Gaza.

Tapi cukuplah kalau kita mampu mendoakan keselamatan sembilan aktivis Malaysia itu, yang kini mungkin sedang berdepan detik genting tanpa sebarang talian dengan dunia luar.

Artikel Berkaitan:

Doa tidak perlukan pasport. Simpati tidak perlukan data jalur lebar. Yang diperlukan hanyalah hati nurani yang masih membara dan jiwa yang tahu menghargai pengorbanan insan lain.

Ini kerana di hujungnya nanti, dunia akan terus mengenang siapa yang benar-benar berjuang dan tidak mempedulikan mereka yang sekadar pandai menulis panjang di ruangan komen.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!