Malaysia mohon bantuan Turkiye sekali lagi, bawa pulang aktivis FFC x TMTG

Mohamad menyampaikan ucapan pada Himpunan Solidariti Bersama Gaza di Axiata Arena, Bukit Jalil. Foto SINAR HARIAN-ROSLI TALIB
Mohamad menyampaikan ucapan pada Himpunan Solidariti Bersama Gaza di Axiata Arena, Bukit Jalil. Foto SINAR HARIAN-ROSLI TALIB
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan melalui Wisma Putra sedang berusaha untuk membawa pulang sembilan peserta misi Freedom Flotilla Coalition (FFC) x Thousand Miles to Gaza (TMTG) mewakili Malaysia ke tanah air selepas kapal dinaiki kesemua aktivis dipintas tentera Israel pada pagi Rabu waktu tempatan.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pihaknya telah menerangkan perkara berkenaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan menghubungi Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan untuk meminta pertolongan mengeluarkan aktivis Malaysia yang dipenjarakan rejim Israel.

Bagaimanapun, menurutnya, perincian mengenai pelan mengeluarkan sembilan rakyat Malaysia daripada tahanan Israel belum boleh dimaklumkan lebih lanjut.

“Saya sudah maklum Perdana Menteri dan minta bantuan daripada Erdogan. Kami hantar teks kepada kepimpinan Amerika Syarikat (AS) mengenai kepulangan mereka (aktivis Malaysia yang menyertai FFC x TMTG).

“Secepat mana saya tak tahu tapi kerajaan akan berusaha sebaik mungkin bawa keluar wira dan wirawati kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Himpunan Solidariti Bersama Gaza: Gelombang Malaysia, Palestin Merdeka bertempat di Axiata Arena Bukit Jalil, di sini pada Rabu.

Sebelum ini, sembilan kapal bantuan kemanusiaan yang terlibat dalam misi di bawah gabungan FFC x TMTG dilaporkan dipintas tentera Israel ketika sedang menuju ke perairan zon merah.

Perkara itu disahkan Pusat Kawalan Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) yang memaklumkan bahawa flotilla bagi misi berkenaan dipintas pada jam 10.50 pagi Rabu waktu Malaysia.

Menurut data pelayaran terakhir pada jam 04:00 UTC (11 pagi waktu Malaysia), kapal itu dikesan berada di koordinat 32°30.649′ N, 30°24.474′ E iaitu kira-kira lebih 120 kilometer dari pesisir Gaza.

Artikel Berkaitan:

Kapal itu dilaporkan bergerak pada kelajuan 4.32 knot dengan haluan 90 darjah.

Pelayaran FFC x TMTG merentasi Laut Mediterranean membawa bekalan makanan, ubat-ubatan serta mesej keamanan yang menggesa agar peperangan dan krisis kebuluran dihentikan, selain menuntut pembukaan akses koridor kemanusiaan ke Gaza.

Seramai lapan delegasi Malaysia belayar di atas kapal Conscience manakala seorang lagi menaiki flotila Umm Saad dalam misi tersebut.

Lapan delegasi Malaysia yang menaiki kapal Conscience milik FFC terdiri daripada ketua misi, Profesor Emeritus Dr Mohd Alauddin Mohd Ali, Dr Fauziah Hassan, Dr Hafiz Sulaiman, Dr Ili Syakira Mohd Suhaimi, Syafik Shukri Abdul Jalil, Profesor Dr Mohd Afandi Salleh dan Dr Noorhasyimah Ismail serta Ahli Lembaga Pemegang Amanah MyCARE, Norsham Abu Bakar.

Kapal terbesar Conscience membabitkan 10 kru, 20 wartawan antarabangsa, 21 pakar perubatan, tiga ahli Parlimen Turkiye, 34 aktivis dan enam Jawatankuasa Pemandu FFC.

Delegasi Malaysia diketuai oleh MyCARE, manakala seramai 93 peserta dari 22 negara berlepas dari Porto Otranto, Itali pada 30 September lalu.

Secara keseluruhan misi ini membabitkan 150 peserta dari 25 negara termasuk sembilan delegasi Malaysia.

Ringkasan AI

  • Kerajaan Malaysia sedang berusaha untuk membawa pulang sembilan aktivis dipintas Israel dalam misi ke Gaza
  • Menteri Luar, Mohamad Hasan telah menghubungi Presiden Turkiye, Erdogan untuk meminta bantuan
  • Tidak ada perincian lanjut mengenai pelan pembebasan sembilan rakyat Malaysia
  • Kapal yang membawa aktivis Malaysia adalah sebahagian dari misi Freedom Flotilla Coalition (FFC) x Thousand Madleens to Gaza (TMTG)
  • Misi ini bertujuan untuk membawa makanan, ubat-ubatan, dan mesej keamanan ke Gaza, melibatkan 150 peserta dari 25 negara termasuk Malaysia

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!