EV cantik masa beli, pening masa jual

KERETA elektrik (EV) memang nampak menarik. Reka bentuk moden, pecutan pantas, kabin canggih dan tidak perlu lagi singgah di stesen minyak untuk mengisi petrol. Pendek kata, banyak perkara yang boleh membuatkan pembeli jatuh hati.
Namun, ada satu perkara yang mungkin kurang difikirkan ketika menandatangani dokumen pembelian iaitu berapa harga kereta itu apabila mahu dijual semula?
Di sinilah cerita mula berubah. Ketika baharu, harga EV boleh cecah ratusan ribu ringgit. Tetapi apabila mahu ditukar beli, bukan semua peniaga bersedia terima kenderaan itu.
Bukan kerana EV tidak boleh dipandu lagi tetapi mereka perlu memikirkan keadaan bateri, kos pembaikan dan siapa pula sanggup membelinya selepas itu.
Bateri menjadi antara perkara paling merisaukan. Kalau kereta petrol bermasalah, banyak bengkel boleh bantu. EV pula memerlukan kepakaran dan peralatan khusus. Kalau kos baiki bateri tinggi, siapa mahu menanggung risikonya?
Belum lagi cerita harga model baharu yang semakin kompetitif. Hari ini beli RM150,000, esok model lebih baharu dengan teknologi lebih baik muncul pada harga jauh lebih rendah. Pemilik lama tentu terasa bahangnya.
Jadi, jangan terlalu teruja melihat angka jualan EV baharu sehingga terlupa nasib pemilik selepas beberapa tahun. Pengeluar perlu memikirkan jaminan, kemudahan membaiki dan nilai jualan semula, manakala peniaga pula memerlukan sistem pemeriksaan bateri yang diyakini.
Merak Jalanan berpendapat kereta yang bagus bukan hanya dinilai ketika masih berkilat di bilik pameran. Nilainya juga terserlah apabila tiba masa pemilik mahu melepaskan kunci kepada orang lain.
Kalau hendak menjual semula pun pening kepala, bagaimana mahu yakinkan lebih ramai rakyat beralih kepada EV?
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
