Lebih 10 juta rakyat sudah guna BUDI95 selepas seminggu - MoF

Lebih 10 juta rakyat telah menikmati manfaat subsidi petrol RON95 menerusi BUDI95 sejak dilancar 27 September lalu.
Lebih 10 juta rakyat telah menikmati manfaat subsidi petrol RON95 menerusi BUDI95 sejak dilancar 27 September lalu.
A
A
A

SHAH ALAM - Inisiatif subsidi bersasar petrol RON95 menerusi Budi Madani RON95 (BUDI95) mendapat penerimaan memberangsangkan apabila lebih 10 juta warganegara yang layak telah menikmati manfaatnya sejak mula diperkenalkan pada 27 September lalu.

Kementerian Kewangan (MoF) dalam satu kenyataan berkata, jumlah penerimaan setakat jam 4 petang pada Rabu itu merangkumi 62.5 peratus daripada keseluruhan 16 juta rakyat yang layak menerima bantuan tersebut.

Menurut kenyataan itu, ia melibatkan jumlah jualan sebanyak RM727.7 juta atau penggunaan sebanyak 365.7 juta liter.

“Sejak pelaksanaannya pada 27 September kepada anggota polis dan tentera, diikuti penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) pada 28 September dan seterusnya kepada seluruh rakyat Malaysia yang layak pada 30 September lalu, transaksi BUDI95 menunjukkan peningkatan positif dan memuncak ketika hujung minggu dengan lebih tiga juta transaksi sehari,” kata kenyataan itu pada Rabu.

Tambah kenyataan itu, penggunaan tersebut menunjukkan bahawa rakyat bersedia menerima pendekatan subsidi bersasar yang dilaksanakan secara telus, efisien dan memberikan manfaat nyata.

“Selain itu, ia juga membuktikan keberkesanan sistem digital pengesahan MyKad yang digunakan di stesen minyak seluruh negara berjalan lancar dan stabil.

“Kerajaan Madani kekal komited memastikan program subsidi bersasar ini berjalan dengan lancar, telus dan memberi manfaat secara langsung kepada rakyat,” ujarnya.

Kenyataan itu menambah, MoF bersama agensi berkaitan akan terus memantau dan menambah baik pelaksanaan BUDI95 dari semasa ke semasa.

“Orang ramai boleh merujuk soalan lazim (FAQ) melalui portal rasmi Budi Madani atau menghubungi talian bantuan di 1-300-88-9595, serta melalui WhatsApp di +603-2631 4595 untuk maklumat lanjut.

Artikel Berkaitan:

“Portal ini turut dilengkapi ciri semakan rekod transaksi yang boleh diakses melalui MyDigital ID bagi memastikan keselamatan data peribadi pengguna,” menurut kenyataan itu.

 

 

Ringkasan AI

  • Inisiatif subsidi bersasar petrol RON95 melalui Budi Madani RON95 telah menerima penerimaan yang memberangsangkan dengan lebih 10 juta warganegara yang layak telah menikmatinya
  • Jumlah penerima manfaat ini merangkumi 62.5 peratus daripada keseluruhan 16 juta rakyat yang layak
  • Sejak pelaksanaannya, telah terjadi jualan sebanyak RM727.7 juta atau 365.7 juta liter penggunaan
  • Transaksi BUDI95 menunjukkan peningkatan dengan lebih tiga juta transaksi sehari terutama pada hujung minggu
  • Kementerian Kewangan dan agensi berkaitan akan terus memantau dan menambah baik pelaksanaan BUDI95 dari semasa ke semasa

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!