11,297 syarikat sudah daftar dalam sistem kawalan subsidi RON95 - Fuziah

Fuziah Salleh bercakap pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga, Parlimen ke-15 Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen pada Rabu. Foto Bernama
Fuziah Salleh bercakap pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga, Parlimen ke-15 Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen pada Rabu. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak 11,297 syarikat dengan 22,918 kenderaan telah berdaftar di bawah Sistem Kawalan Petrol Subsidi (SKPS) sejak ia dibuka pada 15 September 2025, sekali gus menandakan pelaksanaan awal sistem digital kawalan subsidi petrol RON95 oleh kerajaan berjalan lancar.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Fuziah Salleh berkata, sistem berkenaan dibangunkan bagi memastikan penyaluran subsidi bersasar petrol RON95 sampai kepada pihak yang benar-benar layak serta mengekang ketirisan subsidi.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Rosol Wahid (PN–Hulu Terengganu) di Dewan Rakyat pada Rabu yang meminta penjelasan mengenai sistem digunakan di stesen minyak seluruh negara serta langkah melengkapkan perkhidmatan selaras dengan pelaksanaan subsidi bersasar petrol RON95.

Menurut Fuziah, KPDN telah dipertanggungjawabkan untuk menyelaras penyaluran subsidi petrol RON95 kepada sektor pengangkutan awam darat dan barangan, termasuk sektor pengangkutan bot penumpang mulai 29 September 2025.

Katanya, peluasan kepada sektor berkenaan penting bagi memastikan harga tambang perkhidmatan awam serta barangan keperluan kekal stabil meskipun berlaku penyasaran subsidi bahan api.

“Justifikasi peluasan ini adalah bagi memastikan harga tambang pengangkutan awam dan harga barangan asas yang dibayar rakyat kekal stabil,” katanya.

Fuziah menjelaskan bahawa pelaksanaan SKPS dilakukan menerusi lima mekanisme utama bagi memastikan hanya pihak yang layak menerima manfaat subsidi bersasar.

Pertama, menetapkan kategori kenderaan layak menerima subsidi meliputi sembilan jenis kenderaan pengangkutan awam, 12 jenis kenderaan pengangkutan barangan dan bot penumpang yang dibenarkan membeli petrol RON95 pada harga RM2.05 seliter.

Kedua, menetapkan kriteria syarikat iaitu hanya syarikat berdaftar di Malaysia, memiliki cukai jalan sah dan kenderaan tersenarai dalam kategori layak dibenarkan memohon di bawah SKPS.

Artikel Berkaitan:

“Ketiga, penetapan kuota bahan api ditentukan mengikut purata penggunaan bahan api kenderaan masing-masing,” katanya.

Keempat, penggunaan Fleet Card diperkenalkan sebagai kaedah rasmi pembelian petrol RON95 bersubsidi di semua stesen minyak di seluruh negara.

“Penggunaan Fleet Card membolehkan semua transaksi direkodkan secara digital bagi pemantauan rapi dan mengelak pembelian berulang atau dalam jumlah tidak munasabah,” katanya.

Kelima, kementerian menggunakan sistem analisis data digital untuk menganalisis corak pembelian petrol RON95 bersubsidi bagi membantu risikan serta penguatkuasaan kes penyelewengan.

Beliau berkata, setakat ini pendaftaran bagi sektor bot penumpang telah dibuka mulai 9 Oktober 2025 dan sementara kaedah penyaluran serta penetapan kuota dimuktamadkan, subsidi disalurkan melalui bayaran balik tunai sementara.

Fuziah turut memaklumkan bahawa sistem SKPS dibangunkan dengan kos RM492,900 sebagai platform utama untuk menerima dan memproses permohonan subsidi kenderaan awam serta bot penumpang.

“Sistem ini berfungsi untuk menerima permohonan, mengesahkan kelayakan dan meluluskan kuota subsidi kepada kenderaan yang layak,” katanya.

Tambahnya, bagi subsidi petrol individu pula, sistem berasingan di bawah tanggungjawab Kementerian Kewangan (MOF) sedang digunakan melalui inisiatif Budi Madani RON95 (BUDI95).

Menjawab isu harga petrol, beliau menjelaskan bahawa kadar semasa RON95 masih di bawah harga subsidi.

“Harga tanpa subsidi sebenarnya ialah sekitar RM2.60 seliter, manakala harga dinikmati rakyat sebelum ini juga sudah mengandungi elemen subsidi,” katanya.

Berhubung soalan tambahan mengenai semakan semula Automated Pricing Mechanism (APM), beliau berkata perkara itu sedang dibincangkan antara kementerian dan akan dikaji dari semasa ke semasa.

Menjawab isu caj Fleet Card sebanyak RM80 sebulan yang dikenakan kepada pengusaha stesen minyak, Fuziah menjelaskan kadar itu bergantung kepada pengendali sistem dan tidak ditetapkan oleh KPDN.

“Caj penggunaan sistem mungkin berbeza mengikut penyedia perkhidmatan serta perjanjian dalaman antara stesen,” jelasnya.

Beliau menegaskan, SKPS merupakan langkah penting dalam reformasi subsidi negara untuk memastikan penyaluran bantuan lebih telus dan berfokus kepada kumpulan sasaran.

“Dengan sistem digital ini, setiap liter petrol bersubsidi dapat dijejak dan dipantau bagi mengelak ketirisan serta memastikan manfaatnya sampai kepada pihak yang berhak,” katanya.

Fuziah turut memberi jaminan bahawa KPDN akan terus memperkukuh aspek penguatkuasaan serta kerjasama dengan agensi lain termasuk MOF dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi memastikan pelaksanaan subsidi bersasar ini mencapai objektif sepenuhnya.

Ringkasan AI

  • Sebanyak 11,297 syarikat dengan 22,918 kenderaan telah berdaftar di bawah Sistem Kawalan Petrol Subsidi sejak 15 September 2025
  • Sistem ini dibangunkan untuk memastikan penyaluran subsidi petrol RON95 sampai kepada yang layak dan mengekang ketirisan
  • KPDN menyelaras penyaluran subsidi RON95 kepada sektor pengangkutan awam darat, barangan dan bot penumpang mulai 29 September 2025
  • Pelaksanaan SKPS melibatkan penetapan kategori kenderaan layak, kriteria syarikat, penetapan kuota, penggunaan Fleet Card dan analisis data digital
  • Kos pembangunan sistem SKPS adalah RM492,900 dan bertujuan untuk menerima, memproses permohonan, serta mengesahkan kelayakan subsidi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!