Krisis kesihatan di Gaza, hanya sebuah hospital berfungsi

Ziad berkongsi keadaan terkini di Gaza menerusi panggilan video secara langsung pada sidang media bersama Ketua Pegawai Eksekutif MyCARE Malaysia di Serdang pada Rabu.
Ziad berkongsi keadaan terkini di Gaza menerusi panggilan video secara langsung pada sidang media bersama Ketua Pegawai Eksekutif MyCARE Malaysia di Serdang pada Rabu.
A
A
A

SERDANG - Sekatan Israel ke atas Gaza hingga menutup lintasan sempadan dan menyekat penghantaran makanan dan ubat-ubatan menyebabkan penduduk Palestin kini menghadiri krisis kesihatan dan kebuluran.

Pengurus Besar Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) Cawangan Gaza, Dr Ziad M Shehada berkata, hanya sebuah hospital masih berfungsi memberi rawatan kepada lebih dua juta penduduk di utara dan selatan Gaza.

Menurutnya, Gaza menghadapi kehancuran besar selepas perang berlanjutan selama dua tahun hingga memusnahkan kediaman, bangunan dan fasiliti awam.

"Hospital dan fasiliti perubatan banyak yang rosak, tiada ubat-ubatan di hospital khususnya paracetamol untuk menahan sakit malah tiada tempat kosong untuk mereka menjalankan pembedahan.

"Lebih memilukan bayi-bayi terpaksa berkongsi alat pernafasan dan tangki oksigen kerana peralatan yang terhad kerana banyak hospital yang ditutup," katanya menerusi panggilan video secara langsung dari Gaza pada sidang media bersama Ketua Pegawai Eksekutif MyCARE Malaysia, Kamarul Zaman Shaharul Anwar di sini pada Rabu.

Kamarul Zaman mendengar situasi terkini yang disampaikan Ziad di Gaza pada Rabu.
Kamarul Zaman mendengar situasi terkini yang disampaikan Ziad di Gaza pada Rabu.

Ziad berkata, meskipun menghadapi krisis makanan, MyCARE melaksanakan projek mengagihkan makanan kepada penduduk.

"Situasi semasa krisis makanan sedikit baik meskipun bekalan masih terhad dan harganya mahal. Setiap hari kami masak dan agihan makanan panas kepada lebih 3,000 orang.

Artikel Berkaitan:

"Banyak organisasi bantuan (pertubuhan bukan kerajaan-NGO) tidak dapat beroperasi sepenuhnya kerana situasi negara ini yang tidak stabil," katanya.

Dalam pada itu, dia yang juga rakyat Palestin menitipkan rasa terima kasih kepada delegasi Malaysia yang menyertai misi flotila dengan semangat mencabar pengepungan haram Israel ke atas Gaza.

"Pesanan kepada peserta flotila, jangan risau saudara saudari sekalian, pesanan anda sampai ke hati rakyat Gaza.

"Semua rakyat Gaza sedih apabila peserta dihalang dan ditahan dalam misi itu, kapal boleh dihentikan tetapi semangat kemanusiaan demi keadilan tidak akan pernah terpadam.

"Dari lubuk hati kami, terima kasih hero kami, suatu hari nanti flotila pasti akan sampai Gaza," katanya dalam nada sebak.

Freedom Flotilla Coalition (FFC) yang ditubuhkan pada 2010 melancarkan puluhan misi yang bertujuan untuk menghantar bantuan dan menarik perhatian global terhadap krisis kemanusiaan di Semenanjung Gaza yang dikepung Israel.

Konvoi terbaharu itu berlayar selepas pasukan tentera laut Israel menyerang dan merampas lebih daripada 40 bot yang belayar ke Gaza minggu lalu untuk mencabar sekatan Israel dan menahan lebih 450 aktivis di dalamnya.

Israel mengenakan sekatan ke atas Gaza, yang didiami hampir 2.4 juta orang, selama hampir 18 tahun dan mengetatkan lagi pengepungan pada Mac, apabila ia menutup lintasan sempadan dan menyekat penghantaran makanan dan ubat-ubatan, membiarkan enklaf itu ke arah kebuluran.

Sejak Oktober 2023, serangan bom Israel membunuh lebih daripada 67,100 rakyat Palestin di enklaf itu, yang kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.

 

 

Ringkasan AI

  • Sekatan Israel atas Gaza menyebabkan krisis kesihatan dan kebuluran
  • Hanya sebuah hospital di Gaza yang masih berfungsi memberi rawatan kepada penduduk
  • Perang dua tahun telah menghancurkan kediaman, bangunan dan fasiliti awam termasuk hospital
  • MyCARE melaksanakan projek mengagihkan makanan kepada penduduk meskipun adanya krisis makanan
  • Delegasi Malaysia mencabar pengepungan Gaza melalui misi flotila yang disekat oleh Israel

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!