Inkues Zara Qairina: Saksi dedah Zara tulis diari ketika tertekan

Joan (kiri) dan Ram ketika ditemui pemberita di pekarangan Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu.
Joan (kiri) dan Ram ketika ditemui pemberita di pekarangan Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Saksi ke-18 yang juga kanak-kanak kesembilan memberitahu Mahkamah Koroner di sini bahawa Allahyarham Zara Qairina Mahathir akan menulis diarinya ketika berada dalam keadaan tertekan.

Saksi memberikan keterangan tersebut dalam prosiding inkues kematian Zara Qairina yang memasuki hari ke-19 di hadapan Hakim Koroner Amir Shah Amir Hassan.

Peguam Joan Goh berkata, berdasarkan keterangan saksi, dia mengetahui mengenai diari tersebut kerana pernah melihat Zara Qairina menulis di dalam buku berkenaan ketika berada di asrama.

“Saksi pernah membaca diari milik Zara sekali sahaja dengan izinnya. Seingat saksi, Zara menulis mengenai kerinduannya terhadap kawan-kawan lamanya di sekolah rendah, namun nama mereka tidak diingati.

“Setahu saksi, Zara akan menulis diarinya semasa dia ‘stress’ atau dalam tekanan kerana cara penulisannya menjadi laju. Saksi tidak tahu sebab Zara tertekan dan tidak tahu di mana Zara menyimpan diarinya,” katanya kepada pemberita di pekarangan Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu di sini pada Rabu.

Joan berkata, menurut saksi, Zara Qairina tidak pernah mengadu kepadanya mengenai sebarang gangguan di asrama seperti buli, tekanan belajar atau keletihan.

“Zara tidak mempunyai konflik dengan pelajar lain di sekolah. Saksi juga tidak mempunyai konflik dengan Zara dan tidak pernah nampak Zara dimarahi atau diganggu oleh pelajar lain,” katanya.

Katanya lagi, saksi memaklumkan bahawa pada malam 15 Julai lalu, dia melihat Zara Qairina berjalan menuju ke bilik lain, namun tidak mengetahui sebab dia dipanggil ke situ.

“Saksi diberitahu ada pelajar hilang barang. Kemudian, saksi bersama rakan-rakan dorm memeriksa barang-barang milik Zara dan menemui satu pin Jalur Gemilang di tempat Zara yang bertulis nama salah seorang pelajar.

Artikel Berkaitan:

“Saksi tidak tahu apa yang berlaku di dorm sebelah kerana dia tidak berada di sana. Selepas berjumpa senior di bilik sebelah, ketika Zara kembali ke dorm sekitar jam 11 malam, saksi melihat Zara seakan marah.

“Zara berjalan masuk ke dalam dorm, menutup loker, kemudian terus baring di lantai sambil menangis di depan almarinya. Zara menjerit sambil berkata, ‘Aku nda curi bah, sial’. Sebelum saksi tertidur, Zara masih berada di atas lantai. Itu adalah kali pertama saksi melihat Zara dalam keadaan begitu,” katanya.

Katanya lagi, saksi turut memaklumkan bahawa selepas lampu asrama ditutup, dia sempat melihat Zara Qairina duduk di hadapan almarinya dan kemudian datang ke hujung bilik meminta untuk meminjam gunting daripadanya serta beberapa pelajar lain.

“Saksi tidak meminjamkan gunting kepada Zara kerana dia tiada gunting. Selepas itu, Zara keluar dari dorm dan saksi tidak tahu apa berlaku selepas itu kerana dia terus tidur,” katanya.

Selain itu, Joan berkata, saksi memaklumkan bahawa sekitar jam 4 petang pada hari sama, dia melihat Zara berada di dalam asrama.

“Zara kelihatan diam, muram, tidak bercakap dan turun bersendirian. Memandangkan saksi dan Zara berada di kelas berbeza, saksi tidak tahu bagaimana keadaan Zara sewaktu ‘prep malam’. Saksi tidak menegur Zara kerana melihat dia dalam ‘bad mood’ dan takut dimarahi,” katanya.

Sementara itu, Joan memaklumkan bahawa saksi turut memberi keterangan bahawa dia pernah kehilangan wang di dorm dan menerangkan bagaimana dia tahu wang yang dijumpai adalah miliknya.

“Saksi memberi keterangan bahawa dia pernah kehilangan wang di dorm dan pada masa itu memaklumkan kepada senior. Senior kemudian meminta izin untuk memeriksa setiap loker dan menemui sejumlah wang di dalam loker Zara.

“Saksi ditanya bagaimana dia tahu wang itu miliknya, dan saksi menjawab bahawa senior bertanya ciri-ciri wang yang hilang. Wang tersebut ialah tiga keping RM10,” katanya.

Joan bersama rakan sepasukannya, Datuk Ram Singh, mewakili salah seorang daripada lima remaja yang didakwa dalam kes Zara Qairina dan mereka hadir sebagai pihak berkepentingan dalam inkues tersebut.

Allahyarhamah Zara Qairina ditemui tidak sedarkan diri di bawah bangunan asrama sekolahnya pada awal pagi 16 Julai lalu sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth (HQE) pada keesokan harinya.

Ringkasan AI

  • Saksi ke-18 berkata Zara Qairina akan menulis diarinya ketika dalam keadaan tertekan
  • Saksi melihat Zara menulis di buku diarinya di asrama dan pernah membaca isi diari tersebut sekali dengan izin Zara
  • Zara tidak pernah mengadu kepadanya tentang sebarang gangguan di asrama
  • Pada malam 15 Julai, Zara dilihat berjalan menuju ke bilik lain dan kembali dalam keadaan marah, menangis di depan loker
  • Zara ditemui tidak sedarkan diri di bawah bangunan asrama sekolahnya pada 16 Julai dan disahkan meninggal esok harinya

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!