Jangan ambil ringan isu disiplin pelajar - ADUN Duyong

MELAKA - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem melahirkan kebimbangan kerana masih menerima laporan pelajar dalam DUN itu digantung sekolah kerana terlibat dalam masalah disiplin termasuk kes buli.
Beliau berkata, walaupun bilangan mereka yang melakukan kesalahan itu bukanlah angka yang besar, namun tidak boleh diambil ringan.
"Bagaimana dengan apa yang kita dengar cerita-cerita kat luar tentang masalah seks, masalah buli, masalah ketagihan vape yang tidak terkawal ini bukan isu kita katakan buah mulut.
"Tetapi (masalah) itu satu kenyataan dan realiti yang kita kena hadap," katanya ketika dihubungi di sini pada Rabu.
Terdahulu beliau yang juga Timbalan Exco Sains, Teknologi Inovasi dan Komunikasi Digital berkongsi di status Facebook miliknya untuk mempertahankan mana-mana guru yang mengambil tindakan merotan pelajar, disebabkan sikap individu itu yang keterlaluan terutama terlibat dalam masalah disiplin.
Jelasnya, dirinya sanggup kehilangan undi dalam pilihan raya daripada membiarkan anak bangsa terlibat dalam masalah jenayah sehingga rosak menjadi penjenayah.
"Mak apak takyah ugut-ugut pasal anak-anak mereka ni bakal pengundi ke apa.
"Lebih baik hilang sorang pengundi daripada menghasilkan seorang penjenayah," tulisnya.
Ringkasan AI
- ADUN Duyong kebimbangan pelajar terlibat dalam masalah disiplin termasuk buli
- Bilangan pelajar yang terlibat bukanlah besar namun isu tidak boleh dipandang ringan
- Masalah seks, buli, dan ketagihan vape dianggap kenyataan dan realiti yang harus dihadapi
- Timbalan Exco bersedia mempertahankan guru yang merotan pelajar atas masalah disiplin
- Sanggup kehilangan undi daripada membiarkan anak bangsa jadi penjenayah
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

