Permohonan tangguh prosiding persoalan undang-undang kes Na’imah dibatalkan

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu membatalkan permohonan pendakwaan untuk menangguhkan prosiding berhubung persoalan undang-undang berkaitan tuduhan gagal mengisytiharkan harta yang dihadapi Toh Puan Na’imah Abdul Khalid.
Hakim, K Muniandy juga membatalkan permohonan untuk memindahkan kes berkenaan ke mahkamah tinggi lain.
Prosiding itu sepatutnya didengar pada Rabu di hadapan Hakim ini, namun beliau memaklumkan akan berpindah ke Mahkamah Rayuan dalam masa terdekat.
Ia susulan Timbalan Pendakwa Raya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata, pendakwaan bersetuju untuk menarik balik permohonan terbabit.
Sebelum ini, pendakwaan memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan Putrajaya, berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan permohonan semakan Na’imah, 68, bagi merujuk persoalan berkenaan.
Semasa prosiding, Wan Shaharuddin berkata, pendakwaan memberi aku janji untuk menarik balik rayuan terbabit selepas berbincang dengan pihak pembelaan.
Selepas mendengar perkara berkenaan, Hakim, Muniandy menetapkan pengurusan kes bagi pendengaran isu persoalan itu di hadapan hakim lain, pada 10 November depan.
Pada 21 Ogos lalu, Na’imah berjaya dalam permohonannya di Mahkamah Tinggi sama untuk merujuk lapan persoalan undang-undang berhubung tuduhan berkaitan pengisytiharan harta.
Pada 23 Januari 2024, Na'imah didakwa sengaja memberikan satu pernyataan bertulis secara bersumpah yang tidak mematuhi terma notis bawah Seksyen 36(1)(b) Akta SPRM 2009 bertarikh 8 November 2023.
Notis itu dihantar kepada tertuduh oleh seorang Pesuruhjaya SPRM pada 14 November tahun sama iaitu dengan tidak mengisytiharkan harta-harta di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya pada 13 Disember 2023.
Harta itu membabitkan dua syarikat iaitu Ilham Tower Sdn Bhd dan Ilham Baru Sdn Bhd serta dua Mercedes Benz selain lapan hartanah membabitkan Menara Ilham dan sebuah kediaman di Bukit Tunku di sini serta enam lagi bangunan dan lot tanah di Taman Tunku dan Bukit Tunku, di sini; Jalan Cantoment Road, Pulau Pinang serta Jalan Anthinahapan, Taman Tun Dr Ismail, di sini.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi lima tahun dan didenda maksimum RM100,000, jika sabit kesalahan.
Ringkasan AI
- Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan pendakwaan untuk menangguhkan prosiding berkaitan tuduhan gagal mengisytiharkan harta oleh Toh Puan Na'imah Abdul Khalid
- Permohonan untuk memindahkan kes ke mahkamah tinggi lain juga dibatalkan
- Timbalan Pendakwa Raya dan SPRM bersetuju untuk menarik balik permohonan penangguhan tersebut
- Pengurusan kes ditetapkan untuk pendengaran isu pada 10 November depan di hadapan hakim lain
- Na'imah didakwa gagal mengisytiharkan harta termasuk dua syarikat dan beberapa hartanah mengikut Akta SPRM 2009, dengan hukuman maksimum lima tahun penjara dan denda RM100,000 jika sabit kesalahan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

