Na’imah berjaya rujuk 8 persoalan undang-undang

Na’imah (dua dari kanan) berjaya dalam permohonannya untuk merujuk lapan persoalan undang-undang berhubung pertuduhan berkaitan pengisytiharan harta dihadapinya di Mahkamah Tinggi pada Khamis.
Na’imah (dua dari kanan) berjaya dalam permohonannya untuk merujuk lapan persoalan undang-undang berhubung pertuduhan berkaitan pengisytiharan harta dihadapinya di Mahkamah Tinggi pada Khamis.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Balu bekas Menteri Kewangan, Allahyarham Tun Daim Zainuddin berjaya dalam permohonannya untuk merujuk lapan persoalan undang-undang berhubung pertuduhan berkaitan mengisytiharkan harta dihadapinya, di Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis.

Hakim, K Muniandy memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan, Toh Puan Na'imah Abdul Khalid untuk membatalkan keputusan Mahkamah Sesyen yang sebelum ini menolak perkara berkenaan.

Ketika membaca keputusan, Hakim berkata, permohonan semakan Na'imah, 68, bukan sesuatu yang remeh sebaliknya mengandungi persoalan penting yang perlu diperhalusi oleh mahkamah.

Beliau berkata, ia juga bukan penyalahgunaan proses mahkamah, tetapi cabaran yang penting dalam perundangan dengan mengguna pakai prinsip undang-undang terkini.

“Isu yang dibangkitkan memberi kesan mendalam terhadap hak individu yang dipanggil sebagai saksi, termasuk pemohon dalam siasatan kesnya.

“Isu perlembagaan yang dibangkitkan memerlukan campur tangan dan diperhalusi oleh Mahkamah Persekutuan,” katanya.

Dalam prosiding sama, hakim turut membenarkan permohonan peguam, Datuk Dr Gurdial Singh Nijar yang mewakili Na’imah supaya permohonan untuk merujuk persoalan undang-undang itu, didengar di hadapanya.

Sementara pendakwaan dalam kes itu selaku responden, diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Law Chin How.

Selepas prosiding, Na'imah berkata, hakim mengesahkan soalan-soalan sebegini harus dipertimbangkan oleh mahkamah yang lebih tinggi.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, ini bukan sahaja satu kemenangan buatnya, tetapi juga demi keadilan dan kedaulatan undang-undang.

“Saya sentiasa menghormati proses kehakiman dan keputusan hari ini mengukuhkan keyakinan terhadap peranan penting mahkamah dalam melindungi hak setiap warganegara Malaysia.

“Saya akan terus mempertahankan kes ini dengan penuh hormat terhadap undang-undang,” katanya ketika sidang akhbar.

Pada 18 Februari lalu, Mahkamah Sesyen di sini menolak permohonan Na'imah bagi merujuk persoalan undang-undang mengenai kesahihan pertuduhan gagal mengisytiharkan harta yang dihadapinya ke Mahkamah Tinggi.

Hakim, Azura Alwi memutuskan demikian selepas mendapati permohonan itu tidak bermerit kerana tiada isu perlembagaan berbangkit dalam kes berkenaan.

Pada 29 Februari 2024, Na’imah memfailkan permohonan untuk merujuk persoalan undang-undang membabitkan Seksyen 30(5), Seksyen 36(2) dan Seksyen 62 Akta SPRM 2009 serta Seksyen 32(3)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 ke Mahkamah Tinggi.

Pada 23 Januari tahun lepas, Na'imah, didakwa atas pertuduhan gagal mematuhi notis agar mengisytiharkan hartanya termasuk Menara Ilham serta beberapa aset lain di sekitar Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda RM100,000 jika sabit kesalahan.

 

 

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!