Kes aset luar pesisir: Permohonan Na’imah didengar 31 Oktober ini

KUALA LUMPUR – Pendengaran permohonan Toh Puan Na'imah Abdul Khalid untuk mencelah dalam permohonan kerajaan yang mahu menghalangnya berurusan dengan aset luar pesisir di Jersey, iaitu Wilayah Kedaulatan Mahkota British di Mahkamah Tinggi di sini ditetapkan pada 31 Oktober depan.
Ia membabitkan aset itu berjumlah AS$157.5 juta (kira-kira RM667 juta) dan GBP85 juta (kira-kira RM4.9 bilion).
Ketika pengurusan kes di hadapan Hakim, Datuk Muhammad Jamil Hussin, Timbalan Pendakwa Raya, Mahadi Jumaat selaku responden berkata, pihaknya telah memfailkan afidavit balasan pada 30 Julai lalu.
Beliau turut memaklumkan, responden telah menerima afidavit jawapan daripada Na'imah selaku pemohon.
“Kami tiada halangan terhadap permohonannya untuk mencelah dalam permohonan kami,” katanya yang hadir bersama Timbalan Pendakwa Raya, Wan Nur Iman Wan Ahmad Afzal.
Sebelum ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memfailkan permohonan ex-parte atau sebelah pihak untuk menghalang balu kepada Allahyarham Tun Daim Zainuddin itu atau mana-mana pihak berkaitan dengannya daripada menguruskan aset luar pesisir berkenaan.
Pada 25 Jun lepas, pihak pendakwa raya memfailkan permohonan ex-parte dan mendakwa aset tersebut diperoleh oleh Na’imah atau individu yang mempunyai kaitan dengannya di Malaysia dan tidak diisytiharkan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Permohonan itu difailkan mengikut Seksyen 53 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001), ia susulan siasatan mengikut Seksyen 113 Akta Cukai Pendapatan dan Seksyen 4(1) AMLATFPUAA.
Ini merupakan permohonan ketiga difailkan oleh pihak pendakwaan selepas dua permohonan terdahulu membabitkan aset di United Kingdom dan Singapura.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

