Peluang rakyat Sabah tentukan haluan negeri

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

PEMBUBARAN Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah yang diumumkan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor pada Isnin membuka lembaran baharu dalam perjalanan demokrasi negeri di bawah bayu.

Dalam tempoh 60 hari akan datang, rakyat Sabah sekali lagi diberi ruang menentukan siapa layak membawa suara mereka ke pentas pentadbiran negeri bagi penggal ke-17.

Sebanyak 73 kerusi DUN akan dipertandingkan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kali ini, menjadikannya antara gelanggang politik paling besar di Malaysia dari segi jumlah kawasan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan menetapkan tarikh penamaan calon dan pengundian dalam masa terdekat.

PRN kali ini agak unik dalam landskap politik Sabah. Buat pertama kalinya dalam sejarah moden negeri itu, hampir semua parti utama mempunyai hubungan dengan Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.

Ini menjadikan garisan pertembungan politik tidak lagi bersandarkan perbezaan ideologi, sebaliknya lebih kepada persaingan dalaman dan pengaruh kepimpinan tempatan.

PRN Sabah kini menjadi medan untuk menilai sejauh mana dasar dan janji yang pernah disuarakan benar-benar dirasai rakyat di peringkat akar umbi.

Harapan besar diletakkan agar tumpuan diberikan kepada isu kebajikan, pembangunan seimbang dan kestabilan ekonomi tempatan, bukan sekadar permainan kuasa.

Di banyak kawasan luar bandar, isu asas seperti jalan raya, bekalan air bersih dan peluang pekerjaan masih menjadi keluhan utama.

Artikel Berkaitan:

Maka, PRN kali ini harus dijadikan wadah untuk calon dan parti politik membuktikan komitmen mereka terhadap kesejahteraan rakyat.

Sabah memerlukan kepimpinan yang bukan hanya pandai berjanji, tetapi juga mampu melaksanakan perubahan yang memberi kesan nyata kepada kehidupan harian rakyat.

Pembubaran ini bukan tanda ketidaktentuan, tetapi peluang untuk memperbaharui mandat dan memperkukuh asas pentadbiran negeri.

Rakyat Sabah kini mempunyai peluang untuk memilih dengan bijak termasuk menilai calon bukan atas dasar parti semata-mata, tetapi atas kemampuan, integriti dan keikhlasan membela nasib rakyat.

Biarlah PRN ke-17 ini menjadi titik tolak kepada pembentukan kerajaan negeri yang benar-benar mendengar suara rakyat, menunaikan janji pembangunan, dan membawa Sabah ke arah masa depan yang lebih makmur dan inklusif.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!