[VIDEO] DUN Sabah dibubar hari ini
KOTA KINABALU - [DIKEMAS KINI] Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dibubarkan berkuat kuasa pada Isnin, bagi memberi laluan Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).
Pembubaran DUN itu diumumkan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor di Dewan Bankuasi, Menara Kinabalu, ketika pertemuan bersama Presiden parti komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Pakatan Harapan (PH) serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada kerajaan.

"Memandangkan tempoh lima tahun DUN Sabah Ke-16 akan berakhir, saya telah menghadap Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman pada pagi ini untuk menasihatkan pembubaran DUN Sabah.
"Dengan perkenan Tuan Yang Terutama Tun, DUN Sabah Ke-16 akan dibubarkan berkuat kuasa hari ini, Isnin 6 Oktober 2025. Ini memberi laluan kepada PRN Sabah Ke-17, dan memberi kuasa kepada rakyat Sabah menggunakan hak demokrasi mereka untuk menentukan siapa yang akan memimpin mereka," katanya dalam sidang media di sini pada Isnin.

Beliau yang juga Pengerusi GRS berkata, keputusan itu mencerminkan komitmen terhadap demokrasi dan proses perlembagaan.
"Sepanjang lima tahun yang lalu, kita telah bekerja dengan gigih untuk membawa perubahan dan pertumbuhan yang bermakna kepada negeri dan rakyatnya. Melalui Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya yang holistik dan inklusif, kami telah menetapkan Sabah pada landasan transformasi yang jelas sejak menerajui negeri ini pada September 2020.
"Berpandukan tiga tonggak utamanya, yang pertama pertanian, industri dan pelancongan. Kedua, modal insan dan kesejahteraan rakyat, dan ketiga, jaringan infrastruktur dan kelestarian hijau. Pelan hala tuju ini telah mencapai kemajuan yang sebenar.
"Kami mengambil langkah berani dan bertanggungjawab untuk menangani isu lama yang diwarisi terutamanya berkaitan bekalan air dan elektrik serta infrastruktur kritikal.
"Tindakan konkrit dan beberapa projek besar sedang dijalankan untuk menyelesaikan cabaran yang diwarisi ini yang telah membebankan rakyat sejak sekian lama. Beberapa inisiatif telah disiapkan, sementara sebahagian yang lain sedang berjalan untuk disiapkan," katanya.
Tambah beliau lagi, dalam tempoh ini, Sabah telah mengukuhkan ekonominya, menarik pelaburan baharu untuk mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan, meluaskan bantuan pendidikan dan meningkatkan kesejahteraan sosial semua lapisan masyarakat.
"Pencapaian ini adalah hasil kepercayaan, sokongan dan visi bersama rakyat untuk Sabah yang lebih baik. Namun, kerja kita belum selesai. Cabaran baharu menuntut penyelesaian yang berani, dan kita bersedia membawa Sabah ke lembaran seterusnya.
"Dengan pembubaran ini, kami memohon mandat baharu daripada rakyat untuk meneruskan usaha yang telah kami mulakan, membina Sabah yang lebih kukuh, lebih makmur dan bersatu untuk semua," katanya.
Hajiji berharap agar keputusan pilihan raya nanti akan mengukuhkan suara rakyat, menjaga kestabilan dan keselamatan, serta memastikan kemajuan berterusan untuk Sabah tercinta.
"Marilah kita bersama-sama, maju ke hadapan dengan penuh keyakinan dan tujuan," katanya.
Ringkasan AI
- Dewan Undangan Negeri Sabah dibubarkan berkuat kuasa pada Isnin untuk Pilihan Raya Negeri ke-17
- Pembubaran DUN Sabah diumumkan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor
- Pembubaran bertujuan memberi laluan kepada rakyat Sabah menggunakan hak demokrasi mereka
- Keputusan mencerminkan komitmen terhadap demokrasi dan proses perlembagaan
- Pembubaran meminta mandat baharu untuk meneruskan usaha pembangunan dan kemajuan Sabah
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
