[VIDEO] J-KOM bina kerangka pemikiran rakyat

A
A
A

MUKADIMAH

Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Datuk Ismail Yusop menegaskan agensi itu tidak boleh lagi dilihat sebagai agensi propaganda, sebaliknya berperanan sebagai jambatan komunikasi antara kerajaan dengan rakyat dalam membina kerangka pemikiran masyarakat berasaskan gagasan Malaysia Madani.

Beliau berkata, cabaran komunikasi pada era pasca-normal menuntut J-KOM memperkukuh peranan supaya rakyat benar-benar memahami dasar kerajaan, termasuk isu penyasaran semula subsidi RON95 yang menjadi tumpuan sejak kebelakangan ini.

Ikuti wawancara wartawan Sinar Harian, TUAN BUQHAIRAH TUAN MUHAMAD ADNAN dan jurugambar ROSLI TALIB bersama Ismail di Putrajaya baru-baru ini.

SINAR HARIAN: Bagaimana Datuk melihat J-KOM pada masa ini berbanding dahulu?

ISMAIL: Kalau kita bercakap soal J-KOM, sebenarnya agak keterlaluan kalau kita sebut sebagai pembaharuan semata-mata. J-KOM ini ada sejarah, ada latar belakang dan ada legasi tersendiri sejak dahulu.

Datuk Ismail Yusop ketika diwawancara wartawan Sinar Harian, Tuan Buqhairah Tuan Muhamad Adnan. FOTO SINAR HARIAN- ROSLI TALIB
Datuk Ismail Yusop ketika diwawancara wartawan Sinar Harian, Tuan Buqhairah Tuan Muhamad Adnan. FOTO SINAR HARIAN- ROSLI TALIB

Namun yang membezakan J-KOM hari ini berbanding masa lalu ialah asasnya yang berkait rapat dengan kerajaan Madani pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Artikel Berkaitan:

Malaysia Madani ini bukanlah suatu slogan yang datang secara tiba-tiba, selepas beliau mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri. Ia adalah perjalanan hidup beliau sendiri, perjalanan panjang seorang negarawan yang konsisten membawa gagasan membina negara bangsa.

Jadi, di sinilah letaknya peranan J-KOM, bukan lagi agensi propaganda seperti yang dilabel sebelum ini, tetapi agensi yang membina kerangka pemikiran masyarakat khususnya di peringkat komuniti.

Ada pihak mengatakan kewujudan J-KOM adalah suatu pembaziran. Apakah pandangan Datuk?

Kalau kita kata J-KOM ini pembaziran, maknanya ia langsung tiada fungsi.

Bagi saya, selagi agensi ini ada fungsi yang jelas, ada visi dan misi yang tersendiri, maka ia tidak boleh dianggap sebagai pembaziran.

Datuk Ismail Yusop. FOTO SINAR HARIAN- ROSLI TALIB
Datuk Ismail Yusop. FOTO SINAR HARIAN- ROSLI TALIB

Saya mahu tegaskan di sini bahawa J-KOM bukan agensi parti politik. Ia adalah agensi di bawah kerajaan Madani yang terletak di bawah Kementerian Komunikasi.

Jadi mandat kami jelas iaitu memperkasakan komunikasi strategik yang inklusif, yang mendekatkan jurang antara pemerintah dengan rakyat.

Inilah yang saya sebutkan sebagai proses membina negara bangsa.

Namun masih ada pihak yang menganggap J-KOM lemah. Bila ada yang kata J-KOM lemah, soalan saya ialah, apa benchmark atau penanda aras yang digunakan untuk membuat perbandingan itu?

Sebab dalam konteks komunikasi strategik kerajaan, J-KOM bukanlah satu-satunya agensi.

Kita ada Radio Televisyen Malaysia (RTM), kita ada Bernama, kita ada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), kita ada Jabatan Penerangan dan beberapa lagi. Semua agensi ini ada fungsi masing-masing.

J-KOM hanyalah salah satu unit di bawah Kementerian Komunikasi. Jadi tidak boleh berlaku pertindihan peranan. J-KOM perlu ada penjenamaan yang jelas, supaya orang tahu fungsi sebenar kita.

Kalau tidak, persepsi negatif mudah timbul seperti orang akan kata J-KOM ini apa kerjanya, habiskan duit rakyat sahaja. Inilah cabaran yang kita perlu atasi dengan menonjolkan peranan sebenar.

Bagaimanakah J-KOM berperanan dalam isu petrol RON95 dan penyasaran semula subsidi?

Dalam isu RON95, J-KOM tidak melaksanakan tanggungjawab ini sendirian kerana ada Jawatankuasa Komunikasi Strategik Kerajaan yang melibatkan semua agensi komunikasi di peringkat kementerian dan kerajaan.

Datuk Ismail Yusop. FOTO SINAR HARIAN- ROSLI TALIB
Datuk Ismail Yusop. FOTO SINAR HARIAN- ROSLI TALIB

Jadi semua naratif atau mesej yang hendak disampaikan kepada rakyat dibincangkan secara kolektif.

Rakyat perlu memahami bahawa isu ini bukan sekadar teknikal seperti MyKad, lesen atau proses-proses kecil tetapi lebih kepada rasional mengapa penyasaran semula subsidi dilaksanakan.

Kalau kita tidak beri penjelasan dengan betul, rakyat akan hanya fokus kepada isu teknikal itu. Sebab itu penting naratif dibina dengan jelas.

Saya melihat sendiri bagaimana Kementerian Kewangan, Kementerian Komunikasi termasuk J-KOM dan semua agensi di bawahnya membuat persiapan rapi sebelum pelaksanaan.

Itulah sebabnya kita tidak lihat timbul masalah besar. Malah ramai rakyat mula sedar bahawa lebihan dana daripada penyasaran subsidi itu kembali semula kepada mereka dalam bentuk inisiatif lain.

Kajian Research Gate menunjukkan bahawa cara kerajaan berkomunikasi semasa krisis mempengaruhi kepercayaan generasi muda. Apakah strategi J-KOM untuk memulihkan dan memupuk kepercayaan rakyat terhadap mesej kerajaan, terutama semasa krisis?

Saya akui generasi muda hari ini, termasuk generasi Z dan Alpha adalah kelompok yang perlu disantuni dengan cara yang betul.

Mereka ini sudah mempunyai hak mengundi, tetapi tiada nilai sentimental dengan mana-mana parti atau pemimpin.

Mereka lebih kritikal dan mudah dipengaruhi naratif yang mereka lihat di media sosial.

Jadi pendekatan kita bukan konfrontasi, tetapi engagement. Kita perlu turun ke bawah, mendekati mereka, berbual dengan mereka dan mendengar keluhan mereka.

Apa yang diperlukan ialah guiding ideas atau panduan yang boleh menjadi rujukan.

Kalau tiada guiding ideas ini, mereka akan hanya berpandukan persepsi umum dan sentimen media sosial dalam membuat keputusan.

Baru-baru ini kerajaan dikritik kerana pindaan Akta Komunikasi dan Multimedia (CMA) yang memberi lebih kuasa kepada MCMC. Ada pihak bimbang ia menyekat kebebasan. Apakah pandangan Datuk?

Pindaan itu bukan bertujuan untuk menyekat kebebasan, sebaliknya sebagai satu garis panduan. Kita kena faham bahawa jika melampaui had atau melanggar undang-undang, barulah tindakan diambil.

Hari ini kita melihat sendiri bagaimana media sosial digunakan untuk tujuan penipuan, judi haram, fitnah, berita palsu, malah ada yang menggunakan platform itu untuk menipu rakyat.

Jika kita biarkan semua itu atas nama kebebasan, akhirnya keselamatan negara yang akan terancam. Jadi pindaan CMA ini bukan soal kita menolak kebebasan, tetapi untuk menjaga kepentingan rakyat.

Datuk ada sebut berkenaan guiding ideas. Apakah maksudnya?

Dalam suasana dunia yang semakin liberal dan terbuka ini, kita perlukan guiding ideas. Kalau tidak, masyarakat hanya akan dipandu oleh sentimen media sosial yang berubah-ubah.

Guiding ideas ini memberi sedikit panduan dalam membuat keputusan hidup.

Di sinilah tanggungjawab agensi seperti J-KOM. Kita cuba sedaya upaya untuk menyediakan panduan asas, supaya masyarakat ada hala tuju yang jelas.

J-KOM berperanan sebagai jambatan komunikasi antara kerajaan dengan rakyat dalam membina kerangka pemikiran masyarakat berasaskan gagasan Malaysia Madani. FOTO SINAR HARIAN- ROSLI TALIB
J-KOM berperanan sebagai jambatan komunikasi antara kerajaan dengan rakyat dalam membina kerangka pemikiran masyarakat berasaskan gagasan Malaysia Madani. FOTO SINAR HARIAN- ROSLI TALIB

Disinformasi kini menjadi cabaran besar. Bagaimanakah J-KOM menanganinya?

Saya selalu menekankan bahawa dalam dunia digital hari ini, algoritma sangat berkuasa. Kalau media sosial dibanjiri naratif patriotisme dan kenegaraan, ia boleh mengatasi fitnah.

Sebab itu kita perlu mencipta gelombang positif dengan melibatkan key opinion leaders dan masyarakat siber.

Pempengaruh hari ini ada ratusan ribu pengikut. Apa yang mereka kata boleh menjadi panduan hidup kepada ramai orang.

Sebab itu saya sering ingatkan mereka bahawa pengaruh yang ada di tangan mereka boleh menjadi pahala besar, boleh menjadi dosa besar.

Jika mereka menyebarkan kebaikan, mereka akan dihargai. Kalau menyebarkan keburukan, mereka perlu sedia menanggung akibatnya.

Datuk sering menyebut tentang Malaysia Madani. Bagaimana kaitannya dengan kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim?

Datuk Seri Anwar Ibrahim datang dengan pakej merealisasikan gagasan Malaysia Madani.

Ia bukan sekadar slogan politik, tetapi suatu falsafah besar yang merangkum kepimpinan, keberanian dan wawasan beliau dalam membina negara bangsa.

Malaysia Madani ini adalah perjalanan hidup beliau sendiri. Sejak muda lagi beliau konsisten bercakap soal nilai kemanusiaan, keadilan dan maruah rakyat.

Jadi apabila beliau menjadi Perdana Menteri, ia bukan perkara baharu tetapi kesinambungan yang sudah lama beliau perjuangkan.

Pendekatan beliau juga sangat need-based. Maksudnya, kerajaan hari ini fokus menyelesaikan isu rakyat paling mendesak.

Jika orang muda dan M40 tertekan dengan kos sara hidup, harga barang dan masalah pekerjaan, maka isu inilah yang diberikan perhatian. Bukannya kita asyik berceramah tentang konsep besar tanpa menyentuh kehidupan rakyat.

Selain itu, Anwar juga membawa gagasan besar tentang ketamadunan. Beliau mahu kita membina sebuah negara bangsa yang bukan sahaja maju dari segi ekonomi, tetapi juga berjiwa.

Inilah yang mencuit perhatian kuasa besar seperti China, kerana tidak ramai pemimpin di rantau ini bercakap tentang membina peradaban.

Malaysia Madani ini bukan hanya pembangunan material, tetapi pembangunan jiwa bangsa. Inilah yang menjadikan kepimpinan beliau unik dan berbeza dengan banyak pemimpin lain.

Boleh Datuk jelaskan kaitan antara Madani dan soal ketamadunan?

Jika kita melihat sejarah, Nabi Muhammad SAW mengambil masa 10 tahun untuk membangunkan Madinah daripada sebuah kota gersang menjadi negara yang membina tamadun dunia. Begitu juga Melaka pada abad ke-15, pernah menjadi pusat peradaban yang diakui timur dan barat.

Saya percaya sejarah akan berulang. Selepas perang dunia kedua jarang ada pemimpin di rantau ini yang tampil bercakap tentang membina peradaban.

Tetapi Datuk Seri Anwar bercakap tentang Malaysia Madani sebagai ketamadunan iaitu pembangunan manusia, jiwa dan nilai, bukan sekadar material.

Sebab itu ia menarik perhatian kuasa besar seperti China kerana mereka juga sangat menekankan soal tamadun.

J-KOM berperanan sebagai jambatan komunikasi antara kerajaan dengan rakyat dalam membina kerangka pemikiran masyarakat berasaskan gagasan Malaysia Madani.
J-KOM berperanan sebagai jambatan komunikasi antara kerajaan dengan rakyat dalam membina kerangka pemikiran masyarakat berasaskan gagasan Malaysia Madani.

'Kalau betul ada bukti, buatlah aduan'

Terdapat portal melaporkan kerajaan membelanjakan dana untuk mendedahkan kewujudan rangkaian akaun palsu yang dikaitkan dengan kempen menyokong Perdana Menteri. Apa respons Datuk?

Sebenarnya perkara ini sudah dijawab. Malah Kementerian Komunikasi sendiri pun sudah memberi jawapan. Kalau betul ada bukti, buatlah aduan.

Hari ini kita bercakap tentang digitalisasi, tentang kecerdasan buatan (AI) dan pelbagai bentuk gajet. Semua itu kembali kepada tujuan orang yang menggunakannya. Apa maksud dia? Apa endgame yang dia mahu?

Kalau disebut ada usaha-usaha seperti itu, bagi saya kalau betul ada, berikan bukti.

Buat aduan kepada pihak berkuasa. Saya percaya kerajaan ini cukup telus. Kalau ada maklumat yang sahih dan boleh dibuktikan, tindakan akan diambil.

Di J-KOM sendiri, kita memang ada petugas lapangan yang sentiasa memantau media sosial, tetapi tujuan kita jelas iaitu untuk menyampaikan dasar, polisi dan isu semasa kepada rakyat, bukan untuk manipulasi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!