'Tudung dirampas, kami dihina' - Farah Lee dedah layanan buruk tentera Israel

SEPANG – Aktivis Malaysia, Farah Lee menceritakan detik mencabar yang dihadapi delegasi misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF), termasuk pelanggaran hak asasi ketika mereka ditahan pihak berkuasa Israel.
Farah merupakan antara 23 aktivis Malaysia yang selamat tiba di tanah air pada malam Selasa selepas menyertai misi kemanusiaan berkenaan.
Berkongsi pengalamannya, Farah berkata, pengalaman itu benar-benar menguji keimanan dan maruah mereka sebagai wanita Muslim.
“Apa yang saya pakai di kepala ini adalah simbol sumud bagi kami para wanita, delegasi GSF, apabila hak kami untuk mengamalkan agama dan kepercayaan dinafikan.
“Tudung kami dirampas, kami dihina di hadapan lelaki yang tidak dikenali dan terpaksa menggunakan baju-T putih untuk menutup rambut serta kepala bagi menjaga maruah kami sebagai wanita,” katanya.
Farah turut mendedahkan bahawa mereka dinafikan akses kepada keperluan asas sepanjang tempoh tahanan.
“Kami tidak dibenarkan mendapatkan air bersih, ubat-ubatan dan keperluan kebersihan diri. Terdapat juga keganasan serta bentuk layanan buruk yang lain.
“Namun, apa yang kami lalui itu mungkin tidak sampai satu peratus pun daripada penderitaan dan pelanggaran hak asasi yang dihadapi rakyat Gaza setiap hari,” ujarnya.
Beliau berkata, para delegasi GSF akan berkongsi pengalaman penuh mereka kepada umum dalam satu sesi khas tidak lama lagi.
“Orang ramai akan berpeluang mendengar pengalaman penuh kami di Axiata Arena pada 8 Oktober ini,” katanya.
Misi Global Sumud Flotilla menghimpunkan aktivis dari pelbagai negara bagi menyampaikan mesej kemanusiaan serta menyorot krisis berterusan di Gaza.
Walaupun berdepan penahanan singkat dan layanan buruk, semua peserta Malaysia berjaya pulang ke tanah air dengan selamat.
Kumpulan aktivis berkenaan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 sekitar jam 10 malam, disambut penuh emosi oleh ratusan ahli keluarga, penyokong serta wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Mereka merupakan sebahagian daripada flotila antarabangsa yang berlayar bagi meningkatkan kesedaran mengenai krisis kemanusiaan di Gaza serta memperjuangkan hak rakyat Palestin.
Bagaimanapun, kapal mereka dipintas tentera Israel di Laut Mediterranean pada Khamis lalu sebelum dibawa ke pelabuhan, dan kesemua aktivis ditahan.
Ringkasan AI
- Aktivis Malaysia Farah Lee dan delegasi misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla ditahan pihak berkuasa Israel
- Misi bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai krisis kemanusiaan di Gaza
- Peserta ditahan, dilayan buruk, dan dinafikan akses kepada keperluan asas
- Tudung peserta perempuan dirampas, simbol pelanggaran hak mengamalkan agama
- Kesemua aktivis Malaysia selamat pulang ke tanah air, akan berkongsi pengalaman mereka di Axiata Arena pada 8 Oktober
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
