Global Sumud Flotilla: Menang di lautan nurani kemanusiaan

WALAUPUN Global Sumud Flotilla dipintas tentera Zionis, mereka berjaya membuka mata dunia dan berlayar jauh dalam hati serta sanubari kemanusiaan. Foto Canva/Gambar kecil: DR ZAIZUL
WALAUPUN Global Sumud Flotilla dipintas tentera Zionis, mereka berjaya membuka mata dunia dan berlayar jauh dalam hati serta sanubari kemanusiaan. Foto Canva/Gambar kecil: DR ZAIZUL
A
A
A

DI MATA rejim Zionis, misi mereka berjaya apabila Global Sumud Flotilla ditahan, aktivis diculik dan kapal-kapal ditunda ke pelabuhan Ashdod.

Mereka melaung kononnya menang besar. Tetapi hakikatnya, mereka sedang kalah bukan di laut semata, tetapi di medan diplomasi, undang-undang, ekonomi dan terutama sekali di hati nurani dunia.

Kebenaran tidak mungkin dikubur

Al-Quran menegaskan: “Dan janganlah kamu menyangka orang yang terbunuh di jalan ALLAH itu mati, bahkan mereka hidup di sisi Tuhan dan mereka mendapat rezeki.” (Surah Ali-‘Imran: 169)

Ayat ini mengingatkan kita bahawa perjuangan menegakkan kebenaran tidak pernah berakhir dengan kekalahan.

Penahanan aktivis hanyalah jasad yang digari, tetapi roh perjuangan mereka kini bebas menyalakan semangat jutaan insan.

Hadis Nabi SAW pula menegaskan: “Barang siapa yang melihat kemungkaran, maka ubahlah dengan tangan. Jika tidak mampu, maka dengan lisan, jika tidak mampu maka dengan hati dan itu adalah selemah-lemah iman.” (Hadis Riwayat Muslim).

Hakikatnya, flotilla ini ialah simbol tangan dan lisan dunia yang bergerak dengan kapal, mereka bersuara dengan hati yang ikhlas dan dunia kini turut sama bersaksi.

Diplomasi retak, dunia menyala

Artikel Berkaitan:

Colombia bertindak paling berani dengan mengusir diplomat Zionis dan membatalkan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) dengan satu tamparan yang mengasingkan Zionis dari dunia.

Afrika Selatan pula menyamakan penculikan aktivis dengan pengingkaran terhadap Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ). Turki membuka siasatan rasmi, menegaskan ini pelanggaran undang-undang laut.

UMAT manusia di seluruh dunia bangun berdemonstrasi dalam usaha menentang kezaliman Zionis. Foto Canva
UMAT manusia di seluruh dunia bangun berdemonstrasi dalam usaha menentang kezaliman Zionis. Foto Canva

Malaysia pula berdiri teguh menggerakkan diplomasi agar rakyatnya dibebaskan segera.

Sarjana kontemporari seperti John Esposito pernah menulis bahawa tindakan zalim terhadap sesuatu bangsa sering kali menjadi “Catalyst of awakening” yang merupakan pencetus kesedaran sejagat.

Apa yang berlaku kini membenarkan teori itu: "Semakin Zionis menekan, semakin kuat dunia bangkit."

Suara rakyat dan kekuatan solidariti

Di Itali, kesatuan buruh melancarkan general strike 3 Oktober. Akibatnya pelabuhan lumpuh dan logistik terhenti. Itu bukan sekadar mogok, tetapi doa solidariti dalam bahasa pekerja.

Di jalanan Eropah dan Amerika Latin, puluhan ribu turun berdemonstrasi. Dari Rom ke Brussels, Athens ke Berlin hingga Buenos Aires, suara rakyat bergema: “Bebaskan Palestin!”

Pandangan sarjana Muslim kontemporari, Dr. Yusuf al-Qaradawi, sering mengingatkan bahawa jihad moden bukan sekadar mengangkat senjata, tetapi juga berdiri bersama menentang ketidakadilan dalam bentuk solidariti, boikot, suara rakyat dan diplomasi. Inilah yang kita saksikan kini.

Kekalahan moral Zionis

Zionis boleh menangkap, menggari dan merampas kapal, namun mereka gagal menawan hati nurani dunia.

Seperti kata Edward Said, “The power of narrative is as important as the narrative of power.”

Naratif kebenaran Global Sumud Flotilla kini mengatasi propaganda rejim. Realitinya, setiap tindakan ganas Zionis hanya mengundang doa-doa mustajab daripada mereka yang tertindas.

Sabda Nabi SAW: “Takutlah kamu terhadap doa orang yang dizalimi, kerana antara dia dengan ALLAH tiada hijab.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari dan Muslim).

MISI kemanusiaan flotilla baru-baru ini membuka harapan dan semangat baru buat warga Palestin terutamanya kanak-kanak daripada terus dizalimi Zionis. Foto Canva
MISI kemanusiaan flotilla baru-baru ini membuka harapan dan semangat baru buat warga Palestin terutamanya kanak-kanak daripada terus dizalimi Zionis. Foto Canva

Doa-doa inilah yang kini menghimpun kekuatan solidariti dunia.

Harapan yang tidak padam

Global Sumud Flotilla mungkin disekat di laut, tetapi ia telah berlayar jauh di samudera hati umat manusia.

Api solidariti ini tidak lagi boleh dipadam. Ia akan terus menyala dalam doa, dalam jalanan, dalam parlimen-parlimen dunia dan dalam setiap hati yang masih percaya pada kemerdekaan.

Bangkitlah insani, kita terus berdoa agar semua aktivis dibebaskan dengan selamat.

Tetapi lebih daripada itu, kita perlu larut berdoa agar umat manusia tidak lagi tunduk kepada penindasan. Sebab perjuangan ini bukan sekadar tentang tanah dan laut tetapi tentang harga diri, maruah dan hakikat bahawa kebenaran itu tidak mungkin dikuburkan.

***Penulis, PROF MADYA DR ZAIZUL AB RAHMAN merupakan Pensyarah Kanan Pusat Kajian Usuluddin dan Falsafah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Madya Dr Zaizul Ab Rahman

Ringkasan AI

  • Rejim Zionis beranggapan mereka berjaya apabila Global Sumud Flotilla ditahan tetapi sebenarnya mereka kalah di medan diplomasi dan hati nurani dunia.
  • Penahanan aktivis menjadi simbol roh perjuangan yang tidak mati dan terus menyala di hati jutaan manusia.
  • Tindakan Colombia mengusir diplomat Zionis dan Afrika Selatan menyamakan kejadian tersebut dengan pengingkaran Mahkamah Keadilan Antarabangsa menunjukkan retaknya diplomasi dunia terhadap Zionis.
  • Di Itali, mogok oleh kesatuan buruh dan demonstrasi di Eropah serta Amerika Latin menunjukkan solidariti global yang kuat terhadap Palestin.
  • Global Sumud Flotilla walaupun disekat menyumbang kepada api solidariti yang tidak padam untuk kemerdekaan dan menentang penindasan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!