GSF: 23 aktivis Malaysia dijangka tiba 10 malam ini - Nadir Al-Nuri

Kesemua 23 rakyat Malaysia yang menyertai misi Global Sumud Flotilla dijangka tiba di tanah air pada jam 10 malam ini. Foto Facebook Nadir Al-Nuri
Kesemua 23 rakyat Malaysia yang menyertai misi Global Sumud Flotilla dijangka tiba di tanah air pada jam 10 malam ini. Foto Facebook Nadir Al-Nuri
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kesemua 23 rakyat Malaysia yang menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF) dijangka tiba di tanah air pada jam 10 malam ini.

Perkara itu dimaklumkan Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman, atau lebih dikenali sebagai Nadir Al-Nuri menerusi hantaran di Facebook pada Selasa.

"Malam esok, Rabu kita bersolidariti sekali lagi di Axiata Arena jam 6 petang. Saya dan rakan-rakan nak sampaikan mandat dan pesan dua tahun G (Gaza) dibantai badai genosid.

"Ya, hari ini 7 Oktober bermakna sudah dua tahun mereka dibunuh. Ini bukan tentang kami, ia tentang mereka. Kami hanya menumpangkan semangat dan suara agar kita terus bertindak tanpa teragak, peduli tanpa henti. Ia tentang mereka,” katanya.

Semalam, Ketua Pengarah Pusat Gerakan Operasi Sumud Nusantara (SNCC) Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby berkata kesemuanya akan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1.

Khamis lepas, 23 aktivis rakyat Malaysia yang menyertai misi GSF ditahan tentera rejim Zionis selepas kapal mereka dipintas ketika berada di perairan Zon Merah di Laut Mediterranean sebelum dibawa ke pelabuhan Ashdod, Israel.

Kesemua mereka dilapor dibebaskan dan berlepas dari Lapangan Terbang Ramon, Israel pada jam 6.45 petang waktu Malaysia pada Sabtu, sebelum tiba di Istanbul pada jam 8.40 malam waktu Malaysia.

Rakyat Malaysia yang ditahan ialah penyanyi Heliza Helmi dan adiknya, Nur Hazwani Afiqah yang menaiki kapal Hio; Nurfarahin Romli (Farah Lee) dan Danish Nazran Murad (kapal Grande Blu); penyanyi Zizi Kirana (kapal Huga); Musa Nuwayri, Iylia Balqis dan Sul Aidil (kapal Alma); Haikal Abdullah, Muaz Zainal, Zulfadhli Khiruddin dan Rusydi Ramli (kapal Sirius).

Turut ditahan, Razali Awang menaiki kapal Inana; pempengaruh Nurul Hidayah Mohd Amin atau lebih dikenali Ardell Aryana (kapal Mikeno); PU Rahmat, Norhelmi Ab Ghani, Mohd Asmawi Mukhtar, Norazman Ishak (kapal Estrella); Zainal Rashid dan Ustaz Muhammad Abdullah (kapal Fair Lady) serta Muhammad Hareez Adzrami atau lebih dikenali Haroqs, Muhd Haikal Luqman Zulkefli dan Taufiq Mohd Razif (kapal Free Willy). - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Kesemua 23 rakyat Malaysia yang menyertai misi Global Sumud Flotilla dijangka tiba di tanah air pada jam 10 malam ini
  • Misi ini bertujuan untuk menyampaikan pesan dan semangat solidariti terhadap tragedi dua tahun Gaza dibantai
  • 23 aktivis itu ditahan tentera rejim Zionis dan akhirnya dibebaskan untuk pulang
  • Penyanyi Heliza Helmi dan adiknya termasuk dalam kalangan yang ditahan
  • Mereka berlepas dari Lapangan Terbang Ramon, Israel dan tiba di Istanbul sebelum pulang ke Malaysia

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!