Wanita guna helah ‘nak ambil telefon’ sebelum larikan barang kemas

TEMERLOH - Polis sedang mengesan seorang wanita yang disyaki melarikan beberapa barang kemas dari sebuah kedai emas di daerah ini selepas video kejadian berkenaan tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Temerloh, Pemangku Asisten Komisioner, Mohd Nasyim Bahron berkata, pihaknya mengesan satu video berdurasi 1 minit 39 saat yang dimuat naik di platform X @update11111 pada Selasa.
Menurutnya, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) itu memaparkan menunjukkan seorang wanita melarikan gelang emas dari sebuah kedai emas di Temerloh.
"Hasil semakan mendapati kejadian tersebut benar-benar berlaku pada 4 Oktober lalu di sebuah kedai emas di Temerloh.
“Pemilik kedai emas terbabit telah membuat laporan polis kira-kira jam 5.42 petang memaklumkan seorang wanita dipercayai berpura-pura sebagai pelanggan sebelum melarikan seutas rantai emas seberat 19.76 gram dan sebuah cincin emas seberat 4.35 gram,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Ujar beliau, siasatan awal mendapati suspek berpura-pura mahu mengambil telefon bimbit di dalam kereta untuk membuat pembayaran secara pemindahan dalam talian namun terus melarikan diri menaiki sebuah Perodua Bezza berwarna hitam dengan nombor pendaftaran yang disyaki palsu.
Jelasnya, kes kini disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan sedang giat mengesan suspek
"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian ini diminta menyalurkannya kepada Pegawai Penyiasat Kanan, ASP Mohd Badri bin Othman di talian 09-2716222 sambungan 6026,” tambahnya.
Ringkasan AI
- Polis sedang mengesan seorang wanita yang melarikan barang kemas dari sebuah kedai emas di Temerloh
- Video kejadian tular di media sosial
- Kejadian berlaku pada 4 Oktober di sebuah kedai emas di Temerloh
- Wanita berpura-pura sebagai pelanggan sebelum melarikan rantai emas dan cincin emas
- Kes disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

