CEO Petronas mohon maaf insiden di Grand Prix Singapura

SHAH ALAM - Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz memohon maaf atas tindakannya sewaktu meraikan kemenangan pasukan Mercedes-AMG PETRONAS Formula One (F1) di Grand Prix Singapura baru-baru ini.
Menurutnya, keterujaan spontan semasa meraikan kemenangan pasukan mungkin tidak bersesuaian dengan tempatnya.
“Ingin saya jelaskan bahawa saya tidak mengambil sebarang minuman keras, namun sebagai seorang Muslim, saya akur bahawa saya seharusnya tidak terlibat dalam sebarang bentuk sambutan sedemikian.
“Oleh itu, saya ingin memohon maaf atas perbuatan saya yang secara tidak sengaja telah menyinggung perasaan dan saya mengambil sepenuh tanggungjawab di atas segala tindakan saya,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Terdahulu, tular rakaman video daripada siaran langsung yang menunjukkan Tengku Muhammad Taufik berada dalam acara semburan minuman keras ketika berada di atas podium Formula 1, Singapura, yang mengundang reaksi banyak pihak.
Tambah Tengku Muhammad Taufik, kemenangan itu merupakan satu pencapaian yang telah lama dinanti-nantikan dalam kerjasama strategik yang terjalin dengan Pasukan Mercedes-AMG PETRONAS Formula One, pada musim ini.
“Saya berbesar hati diberikan penghormatan untuk mewakili pasukan bagi menerima Trofi Kemenangan Konstruktor.
“Pada kesempatan ini, saya juga ingin mengucapkan jutaan terima kasih atas kepercayaan dan sokongan berterusan yang diberikan kepada pasukan MAMG PETRONAS F1 yang bersaing di tahap tertinggi sukan permotoran.
“Berkat usaha gigih PETRONAS, kejayaan yang dikecapi sekarang dan kecemerlangan yang bakal dicapai di masa akan datang dalam era bahan api mampan mampu membuktikan kebolehan dan keunggulan inovasi ciptaan Malaysia,” jelasnya.
Ringkasan AI
- Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz memohon maaf atas tindakannya sewaktu meraikan kemenangan pasukan Mercedes-AMG PETRONAS F1 di Grand Prix Singapura
- Menyatakan tindakannya yang spontan mungkin tidak bersesuaian dengan tempatnya dan menafikan pengambilan minuman keras
- Mengakui sebagai seorang Muslim tidak seharusnya terlibat dalam bentuk sambutan yang ditunjukkan dan mengambil tanggungjawab atas tindakan tersebut
- Tindakannya mendapat perhatian setelah rakaman video beredar menunjukkan dia dalam acara semburan minuman keras di atas podium
- Menekankan kejayaan pasukan Mercedes-AMG PETRONAS F1 sebagai pencapaian strategik dan mengucapkan terima kasih atas sokongan berterusan serta menyatakan berkat usaha PETRONAS, masa depan dalam era bahan api mampan akan mencapai kecemerlangan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

