Penghantar makanan maut kemalangan

MELAKA – Seorang penunggang p-hailing maut manakala rakannya cedera selepas motosikal ditunggang mereka terbabas ke dalam longkang dalam kemalangan di Jalan Sungai Udang–Tangga Batu, di sini pada petang Isnin.
Dalam kejadian jam 5 petang, mangsa, Muhammad Azli Syah Mohd Sobri, 20, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah, manakala pemboncengnya, Muhammad Shafiq Sahadan, 26, cedera di bahagian kaki kiri.
Ketua Polis Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kemalangan kira-kira jam 5 petang itu melibatkan motosikal jenis Honda RSX dan sebuah van Ford Econovan yang dipandu pesara tentera berusia 66 tahun.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kedua-dua kenderaan bergerak dari arah sama dari Sungai Udang menuju ke Tangga Batu.
"Setiba di lokasi pemandu van memperlahankan kenderaan untuk membelok ke kiri menuju ke Medan Niaga Sungai Udang.
"Motosikal yang datang dari belakang cuba memotong dari sebelah kiri sebelum terbabas ke dalam longkang," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Selasa.
Jelas beliau, impak kejadian itu mangsa yang mengalami cedera parah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala pembonceng yang juga pekerja p-hailing dihantar ke hospital Melaka untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat sebelum dituntut waris keluarga.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

