Sikap tergesa-gesa penghantar makanan, jejas keselamatan jalan raya

Meskipun tekanan untuk menghantar makanan tepat pada masanya mungkin menjadi faktor utama, aspek keselamatan seharusnya tidak dipinggirkan. Gambar hiasan
Meskipun tekanan untuk menghantar makanan tepat pada masanya mungkin menjadi faktor utama, aspek keselamatan seharusnya tidak dipinggirkan. Gambar hiasan
A
A
A

PERKHIDMATAN penghantar makanan kini menjadi salah satu tulang belakang ekonomi gig yang semakin berkembang pesat di negara ini.

Namun, di sebalik peranan mereka yang sering dipuji kerana pantas, cekap dan komited, wujud sisi gelap yang tidak boleh disembunyikan.

Tidak dapat dinafikan, ada sebahagian daripada mereka yang terlalu mengejar masa sehingga sanggup mengabaikan aspek keselamatan jalan raya.

Terbaharu, tindakan seorang penghantar makanan yang cuba mengejar lampu isyarat membawa padah apabila motosikal yang ditungganginya merempuh sebuah kereta yang dipandu lelaki warga emas dalam kejadian di persimpangan lampu isyarat Jalan Awan Besar menghala ke Taman Yarl, Kuala Lumpur, pada Ahad.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa, berkata siasatan awal mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 4.55 petang.

Insiden itu bukan sahaja mengakibatkan kecederaan kepada penunggang terbabit, malah turut mendatangkan risiko kepada pengguna jalan raya yang lain.

Lebih membimbangkan, kes seperti ini bukan pertama kali berlaku, malah kerap berulang dan menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat.

Meskipun tekanan untuk menghantar makanan tepat pada masanya mungkin menjadi faktor utama, aspek keselamatan seharusnya tidak dipinggirkan.

Artikel Berkaitan:

Penghantar makanan perlu sentiasa sedar bahawa undang-undang jalan raya bukan sekadar satu bentuk peraturan, tetapi merupakan mekanisme perlindungan untuk diri sendiri dan orang lain.

Dalam masa yang sama, syarikat penyedia perkhidmatan penghantaran juga perlu mengambil tanggungjawab dengan memberikan latihan dan kesedaran mencukupi kepada kakitangan mereka agar tidak hanya mengejar kelajuan tetapi turut mengutamakan keselamatan.

Mekanisme pemantauan yang lebih ketat mungkin wajar dipertimbangkan, termasuk sistem pemarkahan atau penalti terhadap pelanggaran trafik yang dilakukan oleh penghantar makanan.

Kerjasama antara pihak berkuasa dan syarikat perkhidmatan penghantaran makanan juga penting bagi memastikan pematuhan terhadap garis panduan keselamatan jalan raya dilaksanakan secara menyeluruh.

Tanggungjawab terhadap pelanggan tidak boleh dijadikan alasan untuk mengabaikan nilai yang lebih besar iaitu menjaga keselamatan nyawa sendiri dan pengguna jalan raya yang lain.

Keselamatan harus kekal menjadi keutamaan, kerana satu kesilapan kecil boleh membawa padah besar kepada semua pihak.

 

 

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!