Nadir al-Nuri akhirnya berjumpa semula adiknya di Istanbul

Tangkap layar video perkongsian Nadir di Facebook pada Isnin.
Tangkap layar video perkongsian Nadir di Facebook pada Isnin.
A
A
A

SHAH ALAM – Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM), Nadir Al-Nuri akhirnya bertemu semula dengan adiknya, Musa Nuwayri yang baru dibebaskan daripada tahanan Israel dan kini berada di Istanbul.

Perkembangan itu dikongsikan Nadir menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.

Nadir atau nama penuhnya Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman meluahkan rasa lega apabila mendapati adiknya berada dalam keadaan selamat dan dilihat stabil selepas melalui pengalaman getir ketika ditahan oleh pihak berkuasa Israel.

“Baru jumpa pagi tadi, alhamdulillah selamat semua.

“Satu sahaja masalah saya tak puas hati, kenapa dia turun sampai dekat 10 kilogram (kg), saya turun dalam tiga hingga empat kg sahaja?” katanya berseloroh.

Musa merupakan salah seorang aktivis misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) yang ditahan oleh rejim Zionis ketika dalam pelayaran menuju ke Gaza bagi menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada penduduk Palestin pada akhir September lalu.

Terdahulu, Nadir menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu meluahkan kerinduan terhadap adiknya, Musa yang juga pengasas Cinta Salam Malaysia (CSM).

Beliau turut berkongsi hasrat untuk menerbitkan buku baharu berjudul Sumud Nusantara: Behind The Scene (BTS) selepas kesemua 23 rakyat Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan GSF dibebaskan daripada tahanan rejim Israel dan diterbangkan ke Istanbul sebelum pulang ke tanah air.

Sebelum ini, pesawat membawa aktivis GSF yang diserang dan ditahan Israel di perairan antarabangsa telah selamat mendarat di Lapangan Terbang Istanbul.

Artikel Berkaitan:

Pesawat berkenaan yang berlepas dari Lapangan Terbang Ramon di Eilat, Israel tiba pada jam 3.50 petang waktu tempatan, lapor Agensi Anadolu (Anadolu Ajansi).

Seramai 137 orang keseluruhannya berada dalam penerbangan itu, termasuk 36 warga Turkiye dan 23 rakyat Malaysia.

Ketibaan para aktivis disambut oleh pegawai serta orang ramai di lapangan terbang berkenaan.

Selain warga Turkiye dan Malaysia, pesawat itu turut membawa penumpang dari Amerika Syarikat (AS), Emiriah Arab Bersatu (UAE), Algeria, Maghribi, Itali, Kuwait, Libya, Mauritania, Switzerland, Tunisia serta Jordan

Ringkasan AI

  • Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Nadir Al-Nuri bertemu semula dengan adiknya, Musa Nuwayri di Istanbul selepas dibebaskan dari tahanan Israel
  • Musa Nuwayri adalah aktivis misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla yang ditahan oleh rejim Zionis
  • Nadir meluahkan rasa lega adiknya selamat dan stabil walaupun berat badan turun signifikan
  • Nadir berhasrat menerbitkan buku tentang pengalaman misi kemanusiaan setelah semua rakyat Malaysia dibebaskan
  • Seramai 23 rakyat Malaysia termasuk dalam 137 orang yg pulang ke Istanbul selepas dibebaskan dari Israel

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!