[VIDEO] Bantu tangani kos makanan ternakan
KUALA TERENGGANU – Golongan penternak di Terengganu berharap Belanjawan 2026 memberi tumpuan terhadap peningkatan kos makanan ternakan, keperluan infrastruktur dan isu kelulusan merancang yang dilihat semakin membebankan pengusaha kecil dan sederhana.
Kerajaan juga diharapkan dapat memperkenalkan subsidi bersasar, skim geran padanan serta bantuan teknologi bagi memperkukuh daya saing industri ternakan ayam, kambing dan lembu yang menjadi antara penyumbang utama sekuriti makanan negara.
Pengurus Ladang Ayam Ajil, Mohd Zul Fahmi Long, 35, berkata, kos pengeluaran bagi penternak ayam kini meningkat akibat harga makanan ternakan, elektrik, ubat-ubatan dan vaksin yang semakin tinggi.

“Harga makanan ayam sama ada dalam bentuk dedak mentah atau palet siap proses semakin mahal.
“Jadi kami mohon agar kerajaan dapat teruskan dan tambah baik subsidi makanan ternakan atau beri insentif khusus supaya kos boleh dikawal.
“Ini penting bagi memastikan harga ayam dan telur di pasaran kekal stabil dan mampu milik,” katanya ketika ditemui di ladang ternakan di Ajil, Hulu Terengganu.

Menurutnya, selain subsidi, kerajaan juga perlu memperkukuh kemudahan infrastruktur di kawasan luar bandar seperti jalan ladang, bekalan elektrik stabil dan sumber air bersih bagi membantu mengurangkan kos operasi penternak.
Katanya lagi, isu kelulusan merancang untuk reban turut menjadi beban besar apabila penternak terpaksa menanggung pelbagai caj termasuk fi perunding dan deposit perobohan walaupun reban sedia ada telah lama digunakan.
Sementara itu, penternak kambing kecil-kecilan, Mazlan Malik, 62, pula berkata, peningkatan harga makanan ternakan turut memberi kesan kepada penternak kampung yang menjalankan operasi secara bersendirian.

Justeru, beliau berharap kerajaan meneliti semula struktur harga makanan ternakan supaya lebih mampu milik serta menyalurkan bantuan subsidi kecil kepada penternak kampung.
“Saya usahakan sendiri menternak 22 ekor kambing sejak lima tahun lepas. Untuk makanan sahaja terutama dedak, kos perbelanjaan kira-kira RM20 sehari dan sebulan dalam RM600.
“Tetapi permintaan bukan selalu ada, sedangkan harga jualan kambing masih sekitar RM700 seekor di sini.
“Saya juga perlu mencari rumput tambahan untuk menampung harga dedak yang semakin meningkat,” katanya.
Penternak lembu dari Kampung Durian Burung, Muhammad Allif Ismail, 32, berkata, harga makanan tambahan lembu seperti dedak dan palet kini melonjak tinggi.
“Sekarang harga dedak lembu dan palet makanan tambahan sekitar RM60 hingga RM75 bagi setiap 50 kilogram.
“Dulu masa tahun 2020, harga paling murah RM46 saja untuk kuantiti sama,” katanya yang menternak lembu sejak 2018.
Menurutnya, peningkatan kos ini menyebabkan margin keuntungan penternak semakin kecil dan boleh menjejaskan pengeluaran daging tempatan jika tidak segera ditangani.
“Kami harap Belanjawan 2026 ada peruntukan khas untuk bantu penternak kecil sama ada dalam bentuk subsidi makanan, bantuan ubah suai kandang atau geran kecil untuk tambah ternakan,” katanya.
Ringkasan AI
- Golongan penternak di Terengganu berharap Belanjawan 2026 akan menangani isu peningkatan kos makanan ternakan
- Penternak meminta kerajaan menyediakan subsidi bersasar dan bantuan teknologi untuk meningkatkan daya saing
- Kos pengeluaran bagi penternak ayam meningkat akibat harga makanan ternakan, elektrik, ubat-ubatan, dan vaksin
- Penternak mengalami kesulitan akibat kos operasi tinggi dan proses kelulusan merancang yang membebankan
- Peningkatan harga makanan ternakan juga memberi kesan kepada penternak kecil dan memerlukan bantuan subsidi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
