Lagenda Heights sesak gara-gara parkir berpalang baharu

SUNGAI PETANI - Sistem parkir berpalang yang baru beroperasi pada Isnin di Lagenda Heights, di sini menyebabkan kesesakan pada hari pertama pelaksanaannya.
Salah seorang pengguna, Nur Diana Mohd Nasri, 39, berkata, ketika dalam perjalanan mahu ke sebuah bank, dia menyedari banyak kenderaan beratur panjang semasa ingin memasuki kawasan itu.
Menurutnya, keadaan itu mungkin disebabkan kebanyakan pengguna masih belum terbiasa menggunakan aplikasi sistem parkir berpalang tersebut.
"Ramai yang tak biasa, saya pun terpaksa bertanya kepada kakitangan bertugas namun mujur sudah tahu menggunakan aplikasi sama sebelum ini," katanya.
Seorang lagi pengguna, Mohd Suhaimi Badrulzaman, 48, berkata, pada awalnya tidak tahu bagaimana untuk melepasi halangan berpalang sebaik sahaja mahu masuk ke kawasan perniagaan tersebut.
"Saya nak patah balik tak berani sebab kenderaan sudah beratur panjang, ikut sahaja arahan kakitangan bertugas, mereka minta guna kad Touch n Go (TNG) atau kad bank, nasib baik saya ada bawa," jelasnya.
Tinjauan Sinar Harian mendapati, pihak Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSP) menempatkan kakitangan di lokasi bagi membantu orang ramai menggunakan aplikasi tersebut selain mengurangkan kesesakan.
Sementara itu, MPSPK melalui laman sosial Facebook rasminya turut memaparkan kenyataan tentang tiga kaedah pembayaran yang boleh digunakan termasuk menggunakan aplikasi Flexi Parking, TNG dan kad debit atau kredit dari institusi perbankan.
Berdasarkan kenyataan itu, pengguna aplikasi Flexi Parking hanya perlu membuka aplikasi untuk membuat bayaran.
Difahamkan, sekiranya nombor plat kenderaan sudah didaftarkan dalam aplikasi dan fungsi pengecaman plat diaktifkan, caj parkir akan ditolak secara automatik namun jika sebaliknya, pengguna perlu imbas kod QR di mesin parkir ketika masuk dan keluar.
Berdasarkan maklumat diterima, kakitangan MPSPK akan ditempatkan di kawasan berkenaan selama seminggu bagi membantu melancarkan penggunaan sistem tersebut sebelum ia diperluaskan di kawasan N City dan Taman Pekan Baru, di sini selepas ini.
Sebelum ini, Sinar Harian ada melaporkan tentang cadangan pelaksanaan sistem parkir berpalang bermula Oktober di Pusat Perniagaan Pekan Rabu, di sini diharap dapat ditangguhkan sementara bagi memberi ruang perbincangan terlebih dahulu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bakar Arang, Adam Loh Wei Chai berkata, ia bagi memberi ruang kepada MPSPK mengadakan perbincangan dengan peniaga sebelum menaik taraf sistem tempat letak kereta berpalang yang dilihat telah dipasang di beberapa lokasi di bandar ini.
Ringkasan AI
- Sistem parkir berpalang baru beroperasi menyebabkan kesesakan di Lagenda Heights
- Ramai pengguna belum terbiasa menggunakan aplikasi sistem parkir tersebut
- Pengguna perlu menggunakan aplikasi Flexi Parking, TNG, atau kad debit/kredit untuk pembayaran
- Kakitangan MPSPK ditempatkan di lokasi untuk membantu pengguna
- Sistem akan diperluas ke kawasan N City dan Taman Pekan Baru selepas ini
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

