BNM digesa semak penentuan harga premium insurans pemandu e-hailing

SHAH ALAM - Bank Negara Malaysia (BNM) digesa menilai semula amalan penentuan harga premium insurans bagi pemandu e-hailing oleh syarikat insurans bagi mengelakkan kenaikan yang tidak munasabah.
Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia berkata, kenaikan premium yang tidak terkawal membebankan kumpulan itu yang majoritinya bergantung pada pendapatan harian untuk menyara kehidupan.
Menurutnya, bank pusat itu perlu memastikan syarikat insurans mengenakan kadar premium yang adil, telus dan mampu milik selaras dengan prinsip perlindungan pengguna kewangan.
"Kami difahamkan, satu pertemuan telah diadakan antara BNM dan syarikat insurans mengenai premium bagi khidmat e-hailing, namun syarikat insurans dikatakan bertegas untuk menaikkan premium dengan memberi alasan kos operasi yang semakin meningkat.
"Ini adalah tidak munasabah memandangkan kami sudah menghadapi pelbagai cabaran kewangan, termasuk kos bahan api yang tinggi, kos penyelenggaraan kenderaan dan komisen yang dikenakan oleh platform e-hailing," kata persatuan itu menerusi kenyataan pada Isnin.
Tambah kenyataan itu, kenaikan premium insurans yang tidak wajar hanya akan menambahkan beban kewangan kumpulan berkenaan, sekali gus menjejaskan keupayaan mereka untuk terus beroperasi secara mampan.
Sementara itu, Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia turut menggesa Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) supaya lebih tegas terhadap operator e-hailing (EHO) dengan memastikan setiap syarikat yang beroperasi di negara ini diwajibkan mengambil insurans sebelum membenarkan pemandu menjalankan khidmat mereka di bawah aplikasi masing-masing.
Langkah ini katanya, penting untuk memastikan pematuhan penuh terhadap garis panduan APAD, serta melindungi keselamatan dan kebajikan pemandu, penumpang serta pihak ketiga.
Persatuan itu dalam masa sama turut menggesa BNM dan APAD supaya mendapatkan data atau perincian lebih jelas daripada semua syarikat insurans dan EHO susulan wujud dakwaan kenaikan premium disebabkan peningkatan tuntutan perlindungan ekoran kemalangan oleh pemilik kenderaan e-hailing.
"Kami juga mencadangkan supaya BNM dan APAD mengadakan sesi libat urus secara berkala dengan persatuan pemandu e-hailing dan penghantar untuk memahami cabaran yang mereka hadapi serta memastikan polisi insurans yang dikenakan adalah munasabah dan selari dengan realiti pasaran.
"Kerjasama antara semua pihak berkepentingan adalah penting untuk memastikan industri e-hailing kekal kompetitif, selamat dan mampan untuk semua," katanya.
Ringkasan AI
- BNM digesa menilai semula harga premium insurans e-hailing untuk elakkan kenaikan tidak munasabah
- Kenaikan premium membebankan pemandu e-hailing yang bergantung pada pendapatan harian
- Syarikat insurans dikatakan bertegas untuk menaikkan premium disebabkan kos operasi meningkat
- Kenaikan premium insurans yang tidak wajar menambahkan beban kewangan pemandu e-hailing
- Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia menggesa BNM dan APAD untuk memastikan polisi insurans adil dan mampu milik
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

