Kompleks baharu CIDB, ABM bakal dibina di Melaka

MELAKA – Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) bakal menubuhkan cawangan tetapnya dan Akademi Binaan Malaysia (ABM) di negeri ini dalam usaha memperkukuh latihan serta pembangunan tenaga kerja mahir dalam sektor pembinaan.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, pihaknya kini sedang meneliti beberapa lokasi strategik di Melaka untuk membina kompleks baharu itu di kawasan seluas kira-kira dua hektar.
"Kita mencari lokasi seluas lima ekar (dua hektar) untuk membina dua perkara itu.
"Kita tahu bahawa CIDB melatih pekerja binaan yang mahir melalui ABM dan CIDB yang melaksanakan pelbagai kursus berkaitan industri pembinaan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas majlis Perasmian Program Aspirasi Kerjaya Pembinaan CIDB 2025 yang disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustamdi Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, di sini pada Isnin.
Jelas beliau, penubuhan dua fasiliti itu amat diperlukan kerana pejabat CIDB Melaka yang kini menyewa di Tasik Utama sejak tahun 2008 tidak lagi mampu menampung keperluan operasi serta latihan yang semakin berkembang.
“Kawasan sedia ada agak terhad.
"Kita mahu membangunkan kompleks lebih luas dan moden supaya dapat menempatkan kemudahan latihan kontraktor, pelatih industri serta pusat rujukan sektor pembinaan negeri ini," ujarnya.
Tambah beliau, penubuhan ABM Melaka mampu memberi manfaat besar kepada kontraktor kecil dan belia tempatan yang kini perlu berurusan ke Tampoi Johor atau Kuala Lumpur bagi mengikuti kursus serta mendapatkan pensijilan kemahiran.
“Dengan adanya ABM di Melaka, ia bukan sahaja menjimatkan masa dan kos, malah membuka peluang lebih luas kepada tenaga kerja tempatan meningkatkan kemahiran mereka," katanya.
Tambah beliau, meskipun kemudahan di Melaka tidak sebesar kampus latihan wilayah lain, namun ia akan menjadi pusat penting pembangunan tenaga kerja berkemahiran tinggi bagi zon tengah-selatan Semenanjung.
“Melaka berada di lokasi strategik antara Johor dan Kuala Lumpur, Pembinaan cawangan baharu ini amat relevan bagi menyokong keperluan industri pembinaan yang terus berkembang pesat di negeri ini," ujarnya lagi.
Ringkasan AI
- CIDB akan menubuhkan cawangan tetap dan Akademi Binaan Malaysia di Melaka untuk memperkukuh latihan tenaga kerja mahir
- Pembinaan kompleks baharu ini akan ditempatkan di lokasi strategik di Melaka seluas kira-kira dua hektar
- Penubuhan ini bertujuan untuk mengatasi masalah kekurangan ruang yang dihadapi oleh pejabat CIDB Melaka sejak tahun 2008
- ABM Melaka akan memberi manfaat kepada kontraktor kecil dan pekerja tempatan dengan menjimatkan masa dan kos serta meningkatkan kemahiran
- Lokasi Melaka yang strategik antara Johor dan Kuala Lumpur menjadikannya relevan untuk menyokong industri pembinaan yang berkembang di negeri ini
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

