Akademi Sinergi Ikhlas, Effah Travel meterai MoU kerjasama Umrah Tadabbur Ramadan

Akademi Sinergi Ikhlas dan Effah Travel meterai MoU kerjasama Umrah Tadabbur Ramadan.
Akademi Sinergi Ikhlas dan Effah Travel meterai MoU kerjasama Umrah Tadabbur Ramadan.
A
A
A

SHAH ALAM - Satu memorandum persefahaman (MoU) dimeterai antara Akademi Sinergi Ikhlas Sdn Bhd dan Effah Travel Sdn Bhd bagi menjayakan program Umrah Tadabbur Ramadan, sebuah inisiatif unik yang menggabungkan ibadah umrah dengan penghayatan mendalam terhadap al-Quran.

Pengerusi Akademi Sinergi Ikhlas Sdn Bhd merangkap Ketua Pegawai Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUI), Fazrul Ismail berkata, MoU itu bukan sekadar simbolik tetapi menandakan komitmen jangka panjang kedua-dua pihak dalam menjayakan misi menjadikan ibadah umrah sebagai satu pengalaman transformasi spiritual menyeluruh, khususnya sempena bulan Ramadan.

Dari kiri, Ketua Pegawai Operasi Akademi Sinergi Ikhlas, Mohd Jamil Abdul Wahab, Fazrul dan Che Abdul Majid ketika majlis menandatangani MoU di Karangkraf pada Rabu.
Dari kiri, Ketua Pegawai Operasi Akademi Sinergi Ikhlas, Mohd Jamil Abdul Wahab, Fazrul dan Che Abdul Majid ketika majlis menandatangani MoU di Karangkraf pada Rabu.

Menurutnya, menerusi perjanjian tersebut, Effah Travel akan bertindak sebagai penyelaras utama dari segi urusan logistik, termasuk pengurusan perjalanan peserta, penerbangan serta operasi di Tanah Suci Makkah dan Madinah.

"Akademi Sinergi Ikhlas pula berperanan sebagai penyedia kandungan dan modul tadabbur al-Quran yang akan disampaikan secara konsisten sebelum, semasa dan selepas program umrah.

"Pendekatan ini dijangka memberikan nilai tambah yang signifikan berbanding pakej umrah biasa," katanya ketika majlis menandatangani MoU berkenaan di Karangkraf pada Rabu.

Beliau berkata, program itu akan berlangsung selama tiga bulan, bermula dengan sesi persiapan dan pengenalan tadabbur di Malaysia, diikuti dengan pelaksanaan umrah sepanjang bulan Ramadan dan seterusnya sesi susulan sebaik sahaja para jemaah pulang ke tanah air.

"Salah satu kelainan paling utama dalam program ini adalah sesi tadabbur al-Quran secara konsisten di Tanah Haram, yang diadakan hampir setiap pagi," katanya.

Tambah Fazrul, fokus utama Umrah Tadabbur Ramadan adalah untuk membimbing peserta menghargai dan memahami isi kandungan al-Quran melalui sinopsis 114 surah agar setiap juzuk yang dibaca benar-benar difahami dan dihayati.

Artikel Berkaitan:

"Kami tidak mahu jemaah hanya sekadar pergi umrah. Kami mahu mereka pulang sebagai insan yang lebih dekat dengan al-Quran, yang mampu terus membina diri sebagai insan abrar, mereka yang istiqamah dalam kebaikan.

"Program ini diilhamkan sempena bulan Ramadan, bulan diturunkannya al-Quran, di mana peserta akan dibimbing untuk menghidupkan al-Quran di bumi tempat ia diturunkan, iaitu Makkah dan Madinah.

"Pendekatan ini selari dengan semangat Surah Muhammad dan nilai-nilai Islam yang ingin diterapkan dalam kehidupan para peserta selepas pulang ke tanah air," kata beliau.

Dalam pada itu, Pengarah Urusan Effah Travels, Che Abdul Majid Che Omar pula menyifatkan kerjasama berkenaan sebagai satu bentuk pelengkap terhadap keperluan spiritual jemaah umrah, khususnya pada bulan Ramadan.

"Selama ini kita lihat banyak jemaah sibuk dengan ibadah secara umum, tetapi terasa kosong kerana kurang pengisian rohani yang menyeluruh.

"Inisiatif ini mengisi kekosongan itu dengan menjadikan al-Quran sebagai nadi utama sepanjang keberadaan mereka di Tanah Suci.

"Program ini akan berlangsung selama tiga bulan dijangka berada di Makkah dan Madinah pada 18 Februari hingga 20 Mac 2026 terbuka kepada umum dan harganya bermula dari RM17,990," katanya.

Tambah beliau, dengan pendekatan menyeluruh dari pengisian pra-umrah, penghayatan semasa umrah sehingga sesi susulan, Umrah Tadabbur Ramadan bukan sekadar perjalanan fizikal tetapi sebuah pengembaraan rohani yang memperkukuh hubungan peserta dengan Kalamullah.

Ringkasan AI

  • MoU dimeterai antara Akademi Sinergi Ikhlas Sdn Bhd dan Effah Travel Sdn Bhd untuk program Umrah Tadabbur Ramadan
  • Effah Travel akan mengurus logistik perjalanan sementara Akademi Sinergi Ikhlas menyediakan kandungan tadabbur al-Quran
  • Program ini ditujukan untuk transformasi spiritual dengan penghayatan al-Quran selama bulan Ramadan
  • Sesi tadabbur al-Quran diadakan secara konsisten di Tanah Haram, mendorong pemahaman mendalam 114 surah al-Quran
  • Program tiga bulan ini akan berlangsung di Makkah dan Madinah, tarikh berlangsungnya pada 18 Februari hingga 20 Mac 2026, dengan harga bermula dari RM17,990

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!