AMK gesa siasatan dalaman dakwaan hidang alkohol

Nabil Halimi
Nabil Halimi
A
A
A

SHAH ALAM - Angkatan Muda Keadilan (AMK) menggesa agar siasatan dalaman segera dijalankan ke atas dakwaan hidangan minuman alkohol di majlis makan malam oleh Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia).

Naib Ketua AMK Malaysia, Nabil Halimi berkata, ia bagi menunjukkan komitmen dan ketegasan kerajaan dalam menegakkan nilai, adab serta tatakelola baik yang menjadi teras kepada pembinaan Malaysia Madani.

"Sama ada majlis tersebut dianjurkan oleh pihak swasta mahupun kerajaan, mana-mana acara yang melibatkan kehadiran rasmi menteri, keterlibatan aktif kementerian atau agensi seperti Tourism Malaysia, tidak wajar membenarkan penghidangan minuman beralkohol secara terbuka.

"Ia mencerminkan kegagalan memahami sensitiviti budaya, agama dan nilai masyarakat Malaysia Madani yang berteraskan prinsip adab dan hormat," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin mendakwa, terdapat minuman beralkohol dihidangkan dalam majlis makan malam gala tersebut sehingga menyebabkan tetamu beragama Islam meninggalkan program lebih awal.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing pada Sabtu menafikan dakwaan berkenaan dan menegaskan bahawa Tourism Malaysia hanya bertanggungjawab menguruskan program Global Travel Meet selama dua hari setengah, bukan acara makan malam.

King Sing sekali lagi pada Ahad menegaskan penganjuran majlis makan malam dalam program Global Travel Meet 2025 merupakan inisiatif daripada pemain industri dan sektor swasta.

Tambah Nabil, sehingga kini tiada sebarang permohonan maaf yang dikemukakan secara rasmi oleh Menteri Pelancongan.

Sebaliknya, ujar beliau, kenyataan yang bersifat defensif dan meletakkan kesalahan kepada pihak lain.

Artikel Berkaitan:

"Ini contoh kepimpinan yang bertanggungjawab apatah lagi daripada seorang menteri yang diberi amanah untuk mewakili Kerajaan Madani.

"Ia turut menunjukkan kegagalan pihak kementerian dalam pengawalan dan pengurusan acara rasmi," katanya.

Ringkasan AI

  • AMK menggesa siasatan atas dakwaan hidangan minuman alkohol oleh Tourism Malaysia
  • Nabil Halimi menyeru ketegasan kerajaan menegakkan nilai dan adab
  • Dakwaan hidangan minuman alkohol mencerminkan kegagalan memahami sensitiviti masyarakat Malaysia
  • Menteri Pelancongan menafikan dakwaan tersebut, mengatakan pihaknya tidak mengurus acara makan malam
  • Tiada permohonan maaf rasmi dari Menteri Pelancongan, hanya kenyataan defensif

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!