'Ada penduduk sempadan bersekongkol dengan penyeludup, beri MyKad untuk BUDI95' - KPDN

KOTA BHARU – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan tidak menolak kemungkinan ada segelintir penduduk di kawasan sempadan dipercayai sanggup memberi MyKad mereka sekali gus bersekongkol dengan penyeludup menyeleweng subsidi negara melalui program Budi Madani RON95 (BUDI95) ke Thailand.
Pengarah KPDN Kelantan, Azman Ismail berkata, tindakan itu bagi membolehkan penyeludup membeli bahan bakar tersebut pada harga RM1.99 seliter di stesen minyak untuk meraih keuntungan berganda dengan dijual ke negara jiran.
"Tindakan memberi MyKad kepada penyeludup bukan dianggap kesalahan kerana ia hak pemilik kad, namun ia boleh membuka ruang kepada kegiatan penyeludupan.
"Walaupun petrol bersubsidi kini berharga RM1.99 seliter, harga tanpa subsidi iaitu RM2.60 seliter juga masih tidak menjejaskan aktiviti penyeludupan kerana keuntungan yang diperoleh di negara jiran tetap tinggi," katanya semasa sidang akhbar pada Isnin.
Sebelum itu beliau hadir pada Majlis Penyerahan Kunci Rumah Ihsan Rahmah di Kampung Pantai Mek Mas, di sini.
Hadir sama, Presiden ATH Group, Norlisan Ramzai.
Menurut Azman, penyeludup boleh untung bersih sekitar RM90 bagi satu tong 30 liter yang mana margin keuntungan itu masih berbaloi bagi mereka walaupun harga dinaikkan kerana harga RON95 di Thailand sekitar RM5.30 seliter.
Ujarnya, KPDN terus giat menjalankan pemantauan di stesen minyak sekitar kawasan sempadan bagi memastikan bekalan petrol mencukupi untuk rakyat tempatan dan tidak dimanipulasi pihak tertentu.
Tambahnya, walaupun RM2.60 bukan harga subsidi, minyak tetap dikategorikan sebagai barangan kawalan.
"Tanggungjawab kami adalah memastikan bekalan untuk rakyat mencukupi dan tidak diseleweng oleh penyeludup,” katanya.
Jelasnya, KPDN juga menerima rungutan daripada pengusaha stesen dan penyeludup yang mempersoalkan tindakan penguatkuasaan di sempadan, namun langkah itu penting bagi mengekang ketirisan dan memastikan keadilan kepada penerima sebenar manfaat BUDI95.
Ringkasan AI
- KPDN Kelantan mendapati ada penduduk sempadan mungkin bersekongkol dengan penyeludup meraih untung dari subsidi petrol ke Thailand
- Penyeludup membeli bahan bakar bersubsidi RM1.99 seliter untuk dijual ke Thailand dengan margin keuntungan tinggi
- Memberi MyKad kepada penyeludup dianggap bukan kesalahan tetapi boleh menyebabkan penyeludupan
- Penyeludup boleh untung bersih RM90 untuk setiap tong 30 liter walaupun berdepan harga tanpa subsidi
- KPDN menguatkuasakan pemantauan di stesen minyak sempadan untuk memastikan bekalan mencukupi untuk rakyat dan tidak diseleweng
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

