Industri udang Indonesia dicemari bahan radioktif

JAKARTA – Industri udang Indonesia dilaporkan mengalami kejatuhan mendadak selepas kes pencemaran radioaktif dikesan dalam satu penghantaran udang ke Amerika Syarikat (AS) pada Ogos lalu, menurut Persatuan Petani Udang Indonesia pada Jumaat.
Presiden persatuan itu, Andi Tamsil berkata, kadar pemprosesan udang merosot antara 30 hingga 35 peratus selepas pihak berkuasa AS mengesan bahan radioaktif Cesium-137 dalam udang yang dieksport oleh syarikat PT Bahari Makmur Sejati (BMS).
Kes berkenaan berpunca daripada kawasan perindustrian berhampiran Jakarta yang kemudiannya disahkan tercemar dengan unsur radioaktif itu. Agensi Nuklear Indonesia kini sedang menilai tahap dan keluasan kawasan yang terjejas.
Walaupun hanya melibatkan satu penghantaran dari satu syarikat, Tamsil berkata, pembeli di AS dan negara lain kini mengambil langkah berhati-hati serta menunggu pengesahan keselamatan produk udang dari seluruh Indonesia.
Akibatnya, harga udang di beberapa wilayah utama dilaporkan jatuh sehingga 35 peratus, sekali gus memberi kesan besar kepada rantaian industri daripada penternak hingga ke pengilang.
“Sejak syarikat BMS dimasukkan dalam senarai merah Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan AS (FDA), permintaan terhadap udang daripada petani tempatan menurun dengan ketara,” katanya kepada Reuters.
Menurut data kerajaan, Indonesia mengeksport sekitar 215,000 tan udang bernilai AS$1.7 bilion (RM8.1 bilion) pada tahun 2024. Pasaran AS menyumbang lebih 63 peratus daripada jumlah eksport, diikuti Jepun.
Tamsil memberi amaran bahawa jika krisis ini berlarutan, jutaan isi rumah yang bergantung kepada industri udang dari sektor huluan hingga hiliran berisiko kehilangan pekerjaan.
Beliau turut menyifatkan kejadian itu sebagai “kesilapan fatal akibat kecuaian” yang menjejaskan reputasi keselamatan makanan negara.
“Insiden ini telah menyebabkan Amerika Syarikat meragui keselamatan hasil makanan kita,” katanya.
Susulan itu, kerajaan Indonesia menubuhkan sebuah pasukan khas selepas FDA AS mengeluarkan amaran kepada pengguna, pengedar dan penjual di Amerika agar tidak memakan, menjual atau menghidangkan udang beku keluaran BMS Foods yang dikaitkan dengan pencemaran Cesium-137. - Agensi
Ringkasan AI
- Industri udang Indonesia mengalami kejatuhan selepas kes pencemaran radioaktif
- Kadar pemprosesan udang jatuh 30 hingga 35 peratus pasca pencemaran Cesium-137
- Kes pencemaran berasal dari kawasan perindustrian berhampiran Jakarta
- Harga udang jatuh sehingga 35 peratus, mempengaruhi seluruh rantaian industri
- Krisis menjejaskan reputasi keselamatan makanan Indonesia di mata dunia
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

